Mara gesa tindakan tegas kes pelajar maut didakwa dibuli di Sabah

KOTA KINABALU – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap insiden buli yang didakwa berlaku terhadap seorang pelajar dan dilaporkan meninggal dunia.
Asyraf menerusi satu hantaran di Facebook melahirkan rasa sedih terhadap kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Sabah.
“Sedih pagi-pagi baca berita mangsa buli meninggal dunia di sebuah sekolah di Sabah. Kena ambil tindakan tegas terhadap pembuli.
“Semua pihak wajib ambil peduli isu buli dan tangani secara holistik,” katanya dalam hantaran itu pada Jumaat
Sebelum itu, tular di media sosial mengenai seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sekolah tersebut dipercayai pada Rabu lalu.
Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
