'Saya nampak keadaan abang terlentang, berlumuran darah'

BERA- "Kali terakhir saya bersalaman dengan abang selepas solat Asar semalam (Selasa).
Demikian kata Imam Masjid Kampung Batu Papan, Mohamed Zainudin Seman, 62 selepas abangnya, Kamar Seman, 65, maut setelah dihempap dahan pokok ketika menunggang motosikal di Kilometer 34, Jalan Kuala Bera-Chenor di sini pada Selasa.
Menurutnya, abangnya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum petang bersama rakan-rakan di Kampung Guai.
"Ini memang rutin biasa abang dan kali terakhir jumpa ketika bersalaman selepas solat Asar di masjid.
"Abang tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap cuma dimaklumkan dia tidak membeli sarapan buat keluarganya semalam (Selasa) sedangkan selama ini rutin tiap hari," katanya abangnya adalah anak kelima daripada lapan beradik.
Ujarnya, Allahyarham Kamar merupakan seorang kontraktor serta bendahari masjid tersebut.
"Saya dapat tahu kejadian yang menimpa abang kira-kira jam 7 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Saya nampak keadaan abang yang terlentang dengan berlumuran darah di kepala," katanya walaupun sedih tapi reda dengan kehilangan tersebut.
Jelasnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Papan.
Allahyarham meninggalkan isterinya, Saipan Ibrahim, 57, dan dua anak lelaki berusia 18 dan 24 tahun.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, mangsa sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di sebelum dahan pokok secara tiba-tiba patah dan menghempapnya.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa terbaring di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian belakang kepala. Penduduk kampung membantu mengalihkan dahan pokok yang menghempap mangsa," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

