'Saya nampak api menjulang depan mata, barang mencair'

SUBANG JAYA - "Saya nampak api menjulang tinggi dan barang mencair, jadi debu."
Demikian detik cemas yang dihadapi Ahmad Baharudin Hamid, 56, penduduk Kampung Sungai Baru, di sini, ketika tragedi kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights, 1 April lepas.
Menurutnya, semasa kejadian kira-kira jam 8 pagi itu dia sedang duduk berehat di luar rumah.

"Letupan itu berlaku depan mata, memang tak jauh dari rumah kira-kira 70 meter sahaja. Tengok api depan mata.
"Bunyi letupan pertama tidak berapa kuat, tapi api sudah naik tinggi lebih kurang 60 ke 70 meter. Kemudian dengar saluran gas keluar macam bunyi pesawat hendak berlepas.
"Tidak lama kemudian terus rasa bahang dan saya terus masuk dalam rumah bawa keluar ahli keluarga, barangan keperluan dan peribadi. Alhamdulillah isteri dan empat anak saya semua selamat," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights di sini pada Isnin.
Menurutnya, akibat suhu yang sangat panas semasa kejadian, seorang lelaki warga Bangladesh berlari menuju ke kediamannya dalam keadaan berbogel.
Tambah pekerja syarikat minyak dan gas itu, lelaki berkenaan mungkin adalah pekerja berhampiran di lokasi kejadian.
"Lelaki itu (mangsa) memang melecur satu badan. Saya bantu berikan dia pakaian sebelum keluar dari lokasi.
"Bayangkan lari 100 ke 200 meter pun terasa bahang, memang tak boleh 'stay'. Kereta dan motosikal saya cair, ada pakaian yang digantung tak nampak terbakar, tapi jadi macam terus berdebu, barang lain pun macam itu juga," ujarnya.

Kata Ahmad Baharudin, semasa melarikan diri, kedengaran bunyi batu jatuh ke atas kereta.
Ketika ditanya perancangannya mengenai kediaman dua tingkatnya yang musnah keseluruhan, Ahmad Baharudin berkata, dia akan membaik pulih rumahnya.
"Saya menetap di situ sejak lima tahun lepas. Rumah ini dibina di tanah pusaka, saya tak cadang untuk berpindah," katanya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang akhbar di hari keenam kejadian pada Ahad memaklumkan, sebanyak 439 rumah telah dinilai.
Sebanyak 220 rumah selamat, manakala 219 terjejas termasuk 87 rumah rosak teruk.
Selain itu, polis telah menerima 642 laporan serta 118 saksi telah diambil keterangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
