Halang laluan lebuh raya: Penarik kereta, pekerja kedai motosikal didakwa

KUALA PILAH - Seorang penarik kereta dan pekerja kedai motosikal yang terlibat dalam insiden tular menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan plaza tol Pedas-Linggi pada 1 Julai lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan atas kesalahan memandu secara berbahaya dan mengganggu aliran trafik awam.
Penarik kereta, R Suren, 36, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Suren didakwa memandu secara gopoh dan berbahaya dengan memberhentikan kenderaannya di atas jalan awam sehingga boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 Julai 2025, kira-kira jam 7.50 malam di KM 225.5 Lebuhraya PLUS arah selatan, berhampiran plaza tol Pedas-Linggi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Suren bersama dua lagi individu yang masih bebas, didakwa secara bersama-sama menghalang pergerakan kenderaan dipandu oleh Ang Wei Foong, 38, di lokasi dan waktu yang sama.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga satu bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahana Athirah Yaccob, mencadangkan jaminan RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya hadir secara sukarela ke mahkamah, sudah berkahwin, mempunyai dua anak berusia 14 dan 15 tahun, serta bekerja sebagai penarik kereta dengan pendapatan tidak tetap.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Wei Foong, didakwa kerana memandu Volkswagen Golf secara gopoh dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan melawan arus.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Wei Foong yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah dan merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana hanya bekerja di sebuah kedai motosikal serta mempunyai dua anak kecil yang perlu ditanggung.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 35 saat di media sosial memaparkan tiga kenderaan berhenti secara melintang di atas lebuh raya, menyebabkan kesesakan dan gangguan aliran trafik.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya serta mendorong pihak polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

