Pembentukan Modal Tetap Kasar Malaysia lonjak kepada RM352.3 bilion pada 2024 - DOSM

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 12 peratus kepada RM352.3 bilion pada harga malar bagi 2024 daripada RM314.5 bilion yang dicatatkan pada 2023.

Pertumbuhan itu dipacu oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh serta pertumbuhan pelaburan domestik berterusan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semua sektor menunjukkan pembentukan modal lebih kukuh pada 2024 terutamanya bagi sektor perkhidmatan dan pembuatan.

"Pelaburan dalam aset tetap yang tinggi bagi sektor perkhidmatan didorong oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komunikasi serta kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan masing-masing meningkat 16.4 peratus serta 13.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, katanya, sektor pembuatan berkembang 11.8 peratus (2023: 5.4 peratus) diterajui oleh pembentukan modal tetap yang kukuh dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal serta peralatan pengangkutan (2024: 15.6 peratus; 2023: 6.5 peratus) diikuti oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2024: 10.4 peratus; 2023: 4.5 peratus).

Sementara itu, menurut Mohd Uzir, subsektor makanan, minuman dan tembakau juga meningkat 10.1 peratus manakala perlombongan dan pengkuarian tumbuh 2.4 peratus, pertanian meningkat 3.1 peratus dan pembinaan meningkat kepada 4.6 peratus.

Melihat kepada pembentukan modal mengikut jenis aset, struktur kekal sebagai komponen terbesar yang menyumbang 51.5 peratus (2023: 50.1 peratus) daripada keseluruhan PMTK, melonjak 15.3 peratus pada 2024 daripada tahun sebelumnya.

"Selain itu, peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta jentera dan peralatan lain turut mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 14.8 peratus diikuti oleh produk harta intelek yang berkembang 3.1 peratus pada 2024,” katanya.

Kata Mohd Uzir, PMTK bagi mengikut sektor pula, sektor swasta terus menjadi peneraju utama dengan sumbangan sebanyak 77.4 peratus, berkembang 12.3 peratus daripada tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, jelasnya, pertumbuhan pelaburan sektor awam juga menunjukkan aliran peningkatan yang sama dengan merekodkan pertumbuhan 11.1 peratus daripada 8.5 peratus pada 2023 (sumbangan: 22.6 peratus).

"Aktiviti perkhidmatan dan pembuatan terus menjadi pemacu utama kepada PMTK sektor swasta. Sumbangan aktiviti perkhidmatan melonjak kepada 65.7 peratus (2023: 64.1 peratus).

"Aktiviti pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan sebanyak 22.6 peratus. Sementara itu, aktiviti-aktiviti lain menyumbang 11.7 peratus kepada jumlah PMTK sektor swasta,” kata Mohd Uzir.

Pada masa yang sama, beliau berkata, PMTK sektor awam juga dipacu oleh aktiviti perkhidmatan yang menyumbang 79.3 peratus diikuti oleh aktiviti perlombongan dan pengkuarian serta pembuatan, masing-masing dengan sumbangan sebanyak 10.2 peratus dan 9.6 peratus.

PMTK kekal sebagai komponen kedua terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merangkumi 21.3 peratus daripada keseluruhan ekonomi. - Bernama

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!