ADUN gesa tindakan segera atasi penyusutan Empangan Bukit Merah

A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan digesa supaya segera mengambil tindakan berkesan bagi menangani masalah penyusutan air di Empangan Bukit Merah di daerah Kerian yang semakin kritikal sejak beberapa bulan lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Sallehuddin Abdullah berkata, keadaan paras air yang rendah ketika ini bukan sahaja menjejaskan pengairan sawah malah mengancam sumber bekalan air penduduk.

Menurutnya, keadaan itu juga boleh menimbulkan implikasi besar terhadap keselamatan makanan negara memandangkan daerah Kerian merupakan jelapang padi utama di negeri ini.

"Kalau situasi ini berlanjutan hingga sebulan lagi, kita dimaklumkan bekalan air minuman juga berkemungkinan akan dicatu. Itu sangat kritikal.

"Justeru, kita akan bawa isu ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah dan mohon kerajaan segera mengambil tindakan termasuk pembenihan awan jika perlu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengimamkan Solat Sunat Istisqa di Kampung Selamat di sini pada Selasa.

Program yang disertai kira-kira 100 orang jemaah itu diadakan bagi memohon hujan susulan cuaca kering berpanjangan yang menjejaskan kehidupan harian penduduk dan sektor pertanian di daerah Kerian.

Dalam perkembangan berkaitan, Sallehuddin turut menggesa kerajaan menyegerakan projek pemindahan air Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang telah lama dicadangkan tetapi belum dilaksanakan hingga kini.

Menurutnya, kelewatan projek berkenaan bukan sahaja menyebabkan kos meningkat berlipat kali ganda, malah mengancam kelangsungan kawasan Jelapang Padi Kerian.

Artikel Berkaitan:

"Dulu difahamkan kos cadangan projek ini sekitar RM300 juta, tetapi sekarang mencecah RM800 juta atau mungkin hampir RM1 bilion. Projek ini pernah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa peluncuran KIGIP (Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian baru-baru ini dengan peruntukan RM4 bilion, termasuk untuk water transfer ini.

"Jadi, saya mendesak supaya projek ini diberi keutamaan dan disegerakan demi menjamin keterjaminan makanan negara dan kelangsungan hidup pesawah," ujarnya.

Tambah beliau, isu pengairan yang tidak selesai sejak beberapa tahun lalu turut memaksa sebahagian petani mempertimbangkan penukaran tanaman daripada padi kepada kelapa sawit atau kelapa yang disifatkan lebih stabil dari segi hasil.

Sallehuddin berkata, jika isu ini berlarutan, kawasan jelapang padi yang menjadi aset utama negeri dan negara bakal terancam dan menyusut secara drastik.

Sementara itu berdasarkan perkongsian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian di Facebook, paras air empangan berkenaan ketika ini hanya 6.02 meter iaitu mencecah Aras Henti Bekalan Pengairan.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) pengendalian empangan, bekalan air ke sawah padi akan dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!