Penduduk dakwa ikan mati di Sungai Jeram akibat dituba

KUALA NERUS - Penduduk sekitar Sungai Jeram, di sini melahirkan kebimbangan terhadap kegiatan menuba ikan yang didakwa semakin berleluasa sehingga menjejaskan sumber pendapatan nelayan sungai tempatan.
Seorang penduduk, Mohd Hazwan Asyraf Ghazali, 36, berkata, kegiatan itu dipercayai dilakukan pada awal pagi di sekitar kawasan Lubuk Cegar ketika suasana masih gelap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Biasanya mereka menuba ikan antara jam 3 hingga 4 pagi. Perbuatan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi turut merosakkan hidupan semula jadi dan mengurangkan populasi ikan sungai.
"Sekarang bukan sahaja ikan besar seperti baung, lampam dan tapah semakin sukar diperoleh, malah spesies kecil seperti seluang juga makin pupus dari sungai ini," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Hazwan yang berpengalaman lebih 15 tahun sebagai nelayan sungai berkata, kegiatan tersebut turut dikesan merebak ke Sungai Lekar yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal.
Tambahnya, selain merosakkan habitat, tindakan menuba ikan turut menjejaskan pendapatan penduduk yang bergantung kepada hasil sungai untuk menyara keluarga.
"Saya sendiri mengalami kesan apabila hasil tangkapan semakin merosot. Jadi saya mohon supaya pihak berkuasa, khususnya Jabatan Perikanan, menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya," ujarnya.
Pada Isnin, sebuah video berdurasi 26 saat yang memaparkan ikan terapung di Sungai Jeram menjadi tular selepas dikongsi oleh Exco Pertanian, Industri Makanan dan Komoditi, Datuk Dr Azman Ibrahim.
Azman dalam hantaran di media sosial turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu yang disifatkan berisiko memusnahkan ekosistem sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
