KSD bina R&R RM2.5 Juta, kukuhkan sumber pendapatan
Bakal lonjak sumber pendapatan

ROMPIN - Koperasi Serbaguna Dara Berhad (KSD) yang diiktiraf sebagai koperasi terbaik di Pahang terus unggul apabila mengambil inisiatif membina kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dengan kos RM2.5 juta sebagai satu lagi langkah memperkukuh sumber pendapatannya.
R&R yang bakal dibangunkan di Lebuhraya Kuantan-Segamat di Muadzam Shah itu dijangka menjadi tumpuan pelancong dan penduduk setempat, sekali gus memberi pulangan ekonomi mampan kepada koperasi.
Pengerusinya, Datuk Idros Yahya berkata, projek R&R berkenaan bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tandas awam, surau, restoran, ruang parkir luas serta kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang dijangka siap sepenuhnya pada September depan dan mula beroperasi pada 2026.
"Pembinaan hentian terbabit telah mencapai tahap 70 peratus dan langkah ini sebahagian daripada pelan jangka panjang kami untuk menjadikan ia sebagai entiti koperasi yang mandiri dari segi kewangan.
"R&R ini bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan koperasi tetapi memberi manfaat kepada komuniti sekitar,” katanya.
Beliau ditemui sempena Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Pahang 2023 di Bentong baru-baru ini yang menyaksikan koperasi itu meraih tempat ke-18 dalam Top 100 Koperasi di Malaysia dengan perolehan meningkat hingga RM49 juta tahun lepas berbanding RM46 juta pada 2023.
Idros berkata, usaha tersebut dimulakan dengan promosi jualan dan penambahan bisnes seperti stesen minyak, dua kedai dobi, serta sewaan rumah dan kedai.
Tambah beliau, KSD kini mengusahakan projek pembangunan perumahan di Pekan seluas empat hektar melibatkan 118 unit rumah manakala di Muadzam Shah pula, sebanyak 16 unit rumah telah disiapkan sepenuhnya.
"KSD juga sedang menjalankan projek mega pembangunan 559 buah rumah di kawasan seluas 20 hektar dalam tempoh lima tahun," katanya KSD mula ditubuhkan pada 1978.
Dengan 612 ahli, koperasi tersebut terus menunjukkan contoh bagaimana gerakan koperasi mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi setempat.
Menurutnya, kejayaan koperasi itu tidak hadir sekelip mata sebaliknya hasil perancangan rapi dan kepercayaan berterusan anggota terhadap kepimpinan koperasi.
“Kami sentiasa berusaha menambah baik prestasi dan mencari peluang pelaburan strategik yang dapat menjana pulangan jangka panjang,” katanya.
Inisiatif ini dijangka melonjakkan lagi nama KDB sebagai peneraju koperasi dinamik di Pahang dan peringkat kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!