Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN tawar tangguh bayaran

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelanggan tiga institusi kewangan atau pinjaman wang di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang terkesan akibat koronavirus (Covid-19) dibenar menangguhkan bayaran pembiayaan selama enam bulan berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif moratorium melibatkan Bank Rakyat, SME Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional itu dilaksanakan selepas mengambil kira masalah kewangan yang dihadapi pelanggan susulan penularan Covid-19 yang menjejaskan pasaran perniagaan.

"Selain kesan global akibat penularan virus itu, beberapa langkah daripada pengumuman kerajaan seperti larangan untuk berhimpun, mengadakan acara melibatkan ramai orang sedikit sebanyak didapati menjejaskan perancangan kementerian termasuk industri keusahawanan dan koperasi.

"Atas faktor itu, kami memutuskan untuk mewujudkan sistem moratorium pembayaran pinjaman selama enam bulan bagi institusi kewangan yang berada di bawah bidang kuasa kementerian bagi membantu pelanggan yang berdepan masalah kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat bersama pengurusan tertinggi kementerian itu di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sebelum ini, Bank Rakyat mengumumkan menawarkan penangguhan sementara pembiayaan pelanggannya yang menghadapi isu kewangan akibat Covid-19 bagi memastikan kelangsungan perniagaan terutamanya mereka yang berada dalam industri keusahawanan dan koperasi.

Wan Junaidi berkata, penangguhan itu diharap dapat meringankan beban peminjam yang pada masa sama perlu berusaha mencari alternatif tertentu dalam meneruskan kesinambungan perniagaan bagi membantu mereka membuat bayaran pinjaman sejurus tempoh moratorium berakhir.

Dalam pada itu, Wan Junaidi bertekad mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa pergerakan koperasi di Malaysia hanyalah satu sektor kecil dan tidak bertaraf global.

Artikel Berkaitan:

Menjadikan Bank Rakyat sebagai contoh, beliau berkata, persepsi itu kurang tepat kerana selaku bank kepunyaan koperasi, Bank Rakyat kini merupakan antara 10 bank koperasi terbesar di dunia selain menjadi antara institusi kewangan terulung di negara ini.

“Mana mungkin kita boleh perkecilkan keupayaan pergerakan koperasi di Malaysia sedangkan kita mempunyai lebih 14,000 koperasi dengan keahlian melebihi 6.6 juta serta mampu menjana ekonomi sehingga RM40 bilion setahun kepada negara,” katanya. - Bernama