Bank Rakyat sambut baik Program Perpaduan Madani

Antara tetamu yang hadir semasa pelancaran sambutan Minggu Perpaduan Madani peringkat KPM tahun 2023 yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.
Antara tetamu yang hadir semasa pelancaran sambutan Minggu Perpaduan Madani peringkat KPM tahun 2023 yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Rakyat menyambut baik dan menyokong Program Perpaduan Madani peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi perangkaan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif melibatkan sekolah di seluruh negara.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan, program Perpaduan Madani yang bertujuan untuk memupuk semangat kepelbagaian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia bermula seawal peringkat prasekolah merupakan komitmen KPM dalam menyambut usaha Kerajaan menerusi Minggu Perpaduan Negara Tahun 2023 yang bertemakan ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’.

“Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat kini sedang dalam perancangan bersama KPM bagi menganjurkan beberapa inisiatif untuk mendukung komitmen perpaduan yang diaspirasikan oleh KPM antaranya ialah Karnival Kelab Nuri Madani.

“Karnival ini dijangka dianjurkan di beberapa lokasi di seluruh negara yang akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Bank Rakyat telah menganjurkan lima Karnival Kelab Nuri Ramadan pada April tempoh hari di lima buah sekolah berbeza iaitu Sekolah Menegah Sains Sabah, Sekolah Menengah Sains Selangor, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, MRSM Kuantan dan MRSM Langkawi.

“Bank Rakyat dijangka mengadakan semula Pertandingan Choral Speaking Kelab Nuri Madani pada tahun ini yang bakal mengetengahkan topik perpaduan dalam kalangan pelajar.

"Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada dua program Choral Speaking yang dianjurkan oleh Bank Rakyat sebelum ini pada tahun 2018 dan 2019.

“Penganjuran pertandingan Choral Speaking antara sekolah di seluruh negara ini bertujuan bagi memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelajar sekolah yang berbilang bangsa, sekali gus membantu pelajar meningkatkan tahap keyakinan untuk berkomunikasi," katanya.

Menurut kenyataan itu, bank Rakyat juga bakal memperkenalkan program Saudagar Cilik Nuri sebagai salah sebuah inisiatif untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Bank Rakyat juga giat mempromosikan inisiatif Sekolah Tanpa Tunai yang disertai oleh 13,000 pelajar bagi menyokong aspirasi Bank Negara Malaysia dalam memberikan penekanan mengenai kepentingan celik kewangan sebagai kemahiran hidup terutama dalam kalangan pelajar.

Inisiatif itu juga membuktikan komitmen Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang prihatin dalam membimbing serta membekalkan pelajar dengan pengetahuan untuk menguruskan aktiviti kewangan harian dengan berkesan dan bertanggungjawab agar mereka dapat menguruskan kewangan mereka dengan baik.