Sindiket sewa teres RM2,000 sebulan sorok syabu

KUALA LUMPUR – Polis membongkar sebuah rumah teres dua tingkat berpengawal yang disewa sindiket dan dijadikan stor simpanan dadah dipercayai dari luar negara dengan nilai rampasan mencecah jutaan ringgit.
Kegiatan itu dikesan hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu, susulan penahanan tiga individu termasuk seorang warga Indonesia.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 5.40 petang di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam but kereta suspek menemukan 10 bungkusan plastik berisi syabu seberat 10.34 kilogram (kg).
“Dua lagi lelaki, masing-masing warga tempatan berusia 61 tahun dan warga Indonesia berusia 34 tahun turut ditahan di dalam pusat beli-belah terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan susulan di sebuah rumah teres di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor yang menemukan 122 bungkusan syabu seberat 135.34kg.
Tambahnya, kediaman tersebut yang disewa sejak Oktober tahun lalu dengan bayaran RM2,000 sebulan dijadikan lokasi penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran Lembah Klang.
Jelas beliau, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam operasi itu ialah 145.68kg dengan nilai pasaran dianggarkan melebihi RM4.66 juta.
“Suspek disyaki berperanan sebagai dalang utama dan juga penghantar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bekalan dadah berkenaan dipercayai disasarkan untuk pasaran di Lembah Klang dan berkemungkinan termasuk Indonesia.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan jaringan sindiket terbabit termasuk peranan lelaki warga Indonesia yang ditahan.
“Ketiga-tiga suspek kini direman antara enam hingga tujuh hari bermula 25 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
