Kelab Pencinta Haiwan Kelantan tawar RM2,000 cari anjing dipercayai didera

KOTA BHARU – Kelab Pencinta Haiwan Kelantan menawarkan ganjaran saguhati sebanyak RM2,000 kepada orang ramai yang berjaya menemui seekor anjing liar yang dipercayai menjadi mangsa dera.
Pengerusi kelab berkenaan, Lily Gan berkata, haiwan itu sebelum ini diletakkan di kawasan perumahan Aman Prima, Kampung Lubok Jong, Pasir Mas selepas diambil daripada sebuah rumah tidak berpenghuni di kawasan tersebut.
Beliau memaklumkan, tawaran saguhati itu diberikan susulan usaha pencarian selama empat hari gagal menemui anjing berbulu coklat keemasan berkenaan, yang ketika kali terakhir dilihat berada dalam keadaan lemah dan tidak mampu berjalan.
“Kami mengambil inisiatif menawarkan saguhati ini hasil kerjasama pencinta haiwan yang sangat berharap agar anjing itu dapat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya lagi, anjing berkenaan sangat kurus dan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, dipercayai akibat terkena perangkap babi manakala mulutnya diikat dan lehernya cedera akibat terkena serpihan botol plastik.
Lily berkata, pihaknya percaya anjing itu masih hidup, namun tidak mampu bergerak jauh dan mungkin berada di sekitar kawasan hutan berhampiran perumahan berkenaan.
Setakat ini, katanya, tiada sebarang tanda menunjukkan anjing tersebut memakan makanan yang diletakkan di kawasan ia ditinggalkan.
“Kami cuba mencarinya pada waktu malam dengan harapan dapat menjejakinya melalui sinaran mata haiwan berkenaan,” katanya.
Lily turut meminta mana-mana individu yang menemui anjing itu supaya segera menghubungi pihak kelab atau menghubunginya terus di talian 016-6821919.
Beliau juga menyatakan kesediaan bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan untuk mengalihkan anjing atau kucing yang sakit kerana haiwan-haiwan tersebut memerlukan rawatan dan penjagaan rapi sebelum dilepaskan semula.
“Orang ramai yang prihatin dengan nasib haiwan jalanan boleh berkongsi maklumat dengan kami atau melalui media sosial kerana kami mempunyai pasukan penyelamat yang akan bertindak membantu,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
