AKPS gagalkan cubaan seludup haiwan eksotik ke India

AKPS gagalkan cubaan menyeludup beberapa spesies haiwan eksotik bernilai RM73,000 ke India dalam operasi di Terminal 1, KLIA pada Sabtu. - Gambar hiasan. Foto kecil: AKPS
AKPS gagalkan cubaan menyeludup beberapa spesies haiwan eksotik bernilai RM73,000 ke India dalam operasi di Terminal 1, KLIA pada Sabtu. - Gambar hiasan. Foto kecil: AKPS
A
A
A

SEPANG – Cubaan seorang lelaki menyeludup beberapa spesies haiwan eksotik bernilai RM73,000 ke India digagalkan dalam operasi di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suspek berusia 38 tahun ditahan selepas pemeriksaan ke atas bagasi miliknya menemukan enam ekor haiwan yang disyaki terdiri daripada spesies terancam dan dilindungi.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu dijalankan bersama Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA setelah menerima maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan awal melalui mesin pengimbas mendapati terdapat imej mencurigakan menyerupai hidupan liar di dalam sebuah bagasi milik penumpang lelaki yang dijadual menaiki penerbangan MH0198 ke Hyderabad, India.

“Pemeriksaan lanjut berjaya menemukan dua ekor disyaki lotong kelabu, dua ekor disyaki siamang dan dua ekor disyaki armadillo,” katanya pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, semua haiwan berkenaan tergolong dalam kategori spesies terancam dan dilindungi di bawah undang-undang tempatan serta antarabangsa.

“Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

“Kesemua haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” jelas kenyataan itu.

AKPS menegaskan bahawa usaha berterusan ini mencerminkan komitmen tegas pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar yang bukan sahaja mengancam biodiversiti negara, malah mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!