Kes laporan palsu pempengaruh: Jabatan Peguam Negara teliti semula hukuman

MACHANG - Jabatan Peguam Negara akan meneliti semula keputusan kes membabitkan seorang pempengaruh pemotoran yang membuat laporan palsu berhubung kehilangan diri sendiri hingga mencetuskan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran oleh pasukan keselamatan di Sungai Tui, Bukit Kepong, lebih seminggu lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, walaupun mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500, pihaknya akan melihat kembali secara menyeluruh aspek pertuduhan serta fakta kes.
“Saya tidak boleh mengulas buat masa ini kerana itu bidang kuasa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.
“Nanti kami akan teliti semula, itu sahajalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni Madani: Satu Pemimpin Satu Kampung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, tertuduh Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin atau Ija, 38, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, dijatuhi hukuman oleh Majistret Suzana Mokhtar di Mahkamah Majistret Muar, Johor.
Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan mencetuskan kekecewaan dalam kalangan pengikut pempengaruh berkenaan, serta pasukan penyelamat termasuk anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang lebih 10 kali menyelam dalam keadaan berisiko tinggi di sungai berlumpur dalam usaha mencari kedua-dua lelaki terbabit.
Sebelum ini, Komander Operasi, Ketua Zon 4, Penguasa Kanan Bomba II Norshuhada Amsari, dalam kenyataan impaknya di mahkamah, menyifatkan tindakan tertuduh sebagai mempermainkan agensi penyelamat, mengganggu operasi sebenar dan membazirkan aset serta logistik kerajaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi tersebut menyebabkan pasukannya terpaksa menangguhkan satu lagi misi penting di Sungai Gersik melibatkan seorang mangsa yang dipercayai terjatuh dari jambatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

