Kertas siasatan kes kehilangan palsu pempengaruh ‘Ija’ diserah kepada pendakwa raya

Laporan Sinar Harian mengenai kes pempengaruh permotoran yang didakwa hilang di Sungai Tui. Gambar kecil: Raiz Mukhliz
Laporan Sinar Harian mengenai kes pempengaruh permotoran yang didakwa hilang di Sungai Tui. Gambar kecil: Raiz Mukhliz
A
A
A

MUAR – Kertas siasatan berhubung laporan palsu kehilangan seorang pempengaruh permotoran di Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong di sini pada 14 Julai telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya sedang menunggu arahan seterusnya untuk tindakan selanjutnya.

"Setakat ini, kes masih disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam serta Seksyen 109 kerana bersubahat melakukan kesalahan.

"Jika disabitkan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Para Isnin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membuat satu laporan polis terhadap seorang pempengaruh permotoran dan adik lelakinya susulan tindakan membuat laporan palsu berhubung kejadian kehilangannya di Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong.

Ketua Zon 4 JPBM Johor Penguasa Kanan Bomba II, Norshuhada Amsari berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada jam 11.30 pagi Ahad adalah atas nasihat Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Norshuhada berkata, laporan juga bertujuan agar orang awam mengambil iktibar dengan tidak sesekali membuat sesuatu perkara yang tidak berfaedah serta mengganggu tugas anggota penyelamat.

Beliau berkata, sepanjang operasi mencari dan menyelamat selama empat hari itu, lebih 30 pegawai dan anggota JBPM dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi kejadian sebaik adik pempengaruh itu membuat laporan kehilangan abangnya.

Pada minggu lalu, media melaporkan peniaga dan pemilik sebuah kedai aksesori kenderaan hilang selepas kereta jenis Perodua Axia dipandunya terjunam ke dalam Sungai Tui.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz pada Sabtu berkata hasil siasatan mendapati lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai sengaja ‘reka’ kehilangannya sebelum bertindak melarikan diri ke negara jiran dan adiknya dipercayai bersubahat dengan memberikan keterangan tidak benar untuk kepentingan peribadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!