Ija Nizaruddin, adik dihukum penjara sebulan, denda RM1,500

MUAR – [DIKEMAS KINI] Seorang pempengaruh permotoran dan adiknya dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu berhubung kehilangan di Sungai Tui, Bukit Kepong pada 14 Julai lalu.
Tertuduh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz Tengku Zainudin, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mahkamah memutuskan Ija Nizaruddin dipenjara tiga bulan manakala Tengku Abdul Aziz dipenjara tiga bulan jika gagal bayar denda dengan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan pada Jumaat.
Mereka masing-masing membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Tengku Nizaruddin didakwa bersubahat dengan mengarahkan adiknya dengan memberikan maklumat palsu kepada seorang anggota polis berhubung kehilangannya dan tidak dapat dihubungi sejak 4 petang, 14 Julai lalu.
Perbuatan itu didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 11.38 malam, 15 Julai lalu di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Lenga.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 182 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Manakala, adiknya Tengku Abdul Aziz memberikan maklumat palsu kepada anggota polis kepada anggota polis pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd Piah manakala dua beradik itu diwakili peguam, Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam prosiding tersebut, Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Nor Shuhada Amsari turut membuat pengakuan keterangan impak kesan laporan palsu yang dibuat tertuduh sehingga menyusahkan pasukan bomba termasuk unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan unit K9.
Nur Ameerah meminta hukuman penjara dikenakan mengambil kira sumber dan aset pihak berkuasa iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Bagaimanapun, Tengku Nizaruddin dalam rayuannya memohon agar tidak dikenakan hukuman penjara kerana isterinya akan melahirkan anak kedua mereka pada bulan November ini.
Mengikut fakta kes, pada 14 Julai, Tengku Abdul Aziz hadir ke Pejabat Pertanyaan Balai Polis Lenga membuat laporan bahawa dia yang memandu kereta Honda Civic telah berselisih kereta Perodua Axia dipandu Tengku Nizaruddin melalui Jalan Besar Muar-Labis di hadapan sebuah pasar mini.
Tengku Abdul Aziz memandu kenderaan menghala ke Sekam, Segamat manakala abangnya pula menghala ke Muar untuk menghantar kereta Perodua Axia ke bengkel.
Pada 15 Julai, polis menerima panggilan telefon berhubung penemuan kereta Perodua Axia berwarna putih di dalam Sungai Tui di kawasan kebun sawit Bukit Kepong di sini sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas ‘mangsa’.
Namun pada 19 Julai, Tengku Nizaruddin menyerah diri di Balai Polis Lenga dan mengaku membuat laporan palsu.
Hasil siasatan polis mendapati selepas Tengku Nizaruddin menghumban kereta Perodua Axia tersebit ke dalam Sungai Tui, dia menghubungi Tengku Abdul Aziz untuk mengambilnya ditepi jalan dan bergerak ke sebuah pasar mini di Taman Sri Mawar, Senawang, Negeri Sembilan.
Polis turut menemui tempahan datu tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai, Thailand.
Tengku Nizaruddin menempah perkhidmatan kenderaan e-healing dan bergerak ke Terminal Bas Seremban, Negeri Sembilan sebelum Jabatan Imigresen Malaysia mengesan pergerakan keluar negara melalui Padang Besar, Perlis.
Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada kesan kemalangan atau serpihan kenderaan di laluan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

