Laporan polis bukan perkara main-main

Kes terbaharu melibatkan seorang pempengaruh permotoran yang dilaporkan hilang di Sungai Tui, Bukit Kepong.
Kes terbaharu melibatkan seorang pempengaruh permotoran yang dilaporkan hilang di Sungai Tui, Bukit Kepong.
A
A
A

LAPORAN kehilangan bukan perkara kecil, apatah lagi jika membabitkan penglibatan besar-besaran pihak berkuasa dan masyarakat.

Sudah tentu apabila seseorang dilaporkan hilang, seluruh kekuatan pihak berkuasa seperti polis, bomba, pertahanan awam dikerah, malah masyarakat setempat dan sukarelawan turut turun padang membantu.

Semua ini dilakukan dengan satu harapan iaitu menyelamatkan nyawa yang disangka dalam bahaya.

Namun, apabila laporan tersebut rupa-rupanya palsu atau dirancang, ia bukan sahaja membuang masa dan tenaga, malah mengundang kemarahan dan kekecewaan masyarakat.

Lebih parah lagi, perbuatan seperti ini mampu menyebabkan masyarakat hilang keyakinan terhadap laporan sebenar selepas ini.

Kes terbaharu melibatkan seorang pempengaruh permotoran yang dilaporkan hilang di Sungai Tui, Bukit Kepong pada awal minggu ini telah mencetuskan kebimbangan ramai kerana hanya kereta yang dipandu ditemui terjunam dalam sungai berkenaan.

Selepas berita kehilangannya tersebar, ramai yang mendoakan keselamatannya, malah media sosial dibanjiri dengan kata-kata positif agar usaha pencarian dipermudahkan.

Di lapangan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan secara besar-besaran melibatkan 77 anggota daripada pelbagai agensi dengan bantuan unit K9 dan dron.

Pencarian merangkumi darat, air dan udara, melibatkan kawasan sejauh 10 kilometer dari lokasi terakhir yang dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

Selama empat hari, pasukan SAR berhempas pulas, menyelam dalam sungai berlumpur, meredah semak-samun dan bergilir siang malam sebelum operasi di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditamatkan pada petang Jumaat selepas tidak petunjuk baharu ditemui.

Bagaimanapun, keesokan harinya negara digemparkan dengan pengesahan pihak polis bahawa kehilangan itu disyaki direka.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan, hasil siasatan mendapati terdapat keraguan terhadap laporan yang dikemukakan.

Siasatan seterusnya dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam serta Seksyen 109 kerana bersubahat melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Apa yang berlaku ini bukan kes yang pertama. Pada Januari lalu, seorang pempengaruh wanita dari Singapura turut menerima padah apabila didapati membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya diculik di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Siasatan terperinci termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian itu tidak pernah berlaku. Atas perbuatannya, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tiga minggu jika gagal membayar.

Bayangkan jika polis tidak menyiasat dan menerima bulat-bulat laporan itu, apa kesan kepada keselamatan awam? Berapa banyak sumber keselamatan akan dibazirkan semata-mata untuk melayan cerita rekaan?

Perkara ini juga pernah berlaku dalam pelbagai bentuk sebelum ini di mana ada yang membuat laporan kononnya disamun hanya kerana mahu mengelak denda kehilangan MyKad.

Semua ini adalah satu bentuk manipulasi yang menjejaskan integriti sistem keselamatan kita.

Ingatlah, walau apa pun masalah hidup yang dihadapi seperti kewangan, tekanan emosi, konflik peribadi jangan sampai menyusahkan pihak lain. Apatah lagi dengan mencipta sandiwara yang melibatkan keselamatan dan kepercayaan awam.

Laporan kehilangan atau jenayah bukan alat untuk content viral. Ia adalah perkara serius yang melibatkan nyawa, reputasi dan kepercayaan. Apabila masyarakat mula ragu-ragu, mangsa sebenar yang akan menanggung akibatnya.

Jangan sampai kerana perbuatan kita, nyawa orang lain tidak dapat diselamatkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!