Tiada keperluan untuk Wan Suraya bersara - AGC

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi diarah bersara demi kepentingan negara kerana pelantikan beliau sebagai Ketua Audit Negara dibuat secara teratur mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, berdasarkan Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan subperenggan 1 (1) Jadual Pertama kepada Akta Audit 1957 (Akta 62), Ketua Audit Negara boleh dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
Jelas AGC lagi, merujuk Fasal (2) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, apabila Wan Suraya dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa 13 Jun 2023, beliau tidak lagi memegang apa-apa pelantikan lain dalam perkhidmatan Persekutuan.
“Disebabkan itu juga, beliau tidak lagi menjadi anggota skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
“Meskipun bukan lagi anggota skim perkhidmatan PTD, Ketua Audit Negara masih terus menjadi anggota perkhidmatan awam am berdasarkan Seksyen 3 Akta 62.
“Memandangkan pelantikannya sebagai Ketua Audit Negara adalah teratur, maka tiada keperluan untuk beliau dibersarakan demi kepentingan negara,“ kata AGCmenerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat mempertikaikan pelantikan Wan Suraya sebagai Ketua Audit Negara ketika beliau masih dalam perkhidmatan awam.
Terbaharu, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa perkara itu telah dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada mesyuarat Jemaah Menteri.
Katanya, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Wan Suraya sudah meletakkan jawatan sebagai penjawat awam sebaik menerima pelantikan menjadi Ketua Audit Negara.
Beliau turut menjelaskan, pelantikan Wan Suraya sebagai Ketua Audit Negara dibuat mengikut prosedur dan isu sebegitu tidak sepatutnya timbul.
Untuk rekod, Wan Suraya juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Integriti Malaysia (IIM).
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha (KSU) di Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Usahawan serta beberapa kapasiti di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

