Ajak Shiro hadiahkan restoran kepada Ebby Yus

Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro membuktikan makna persahabatan sebenar apabila menghadiahkan cawangan kedua restoran miliknya kepada pelakon senior, Ebby Yus.
Tindakan itu diambil selepas melihat usaha dan semangat Ebby, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 60, yang tetap hadir ke restoran Bumbu Babah walaupun berdepan keadaan kesihatan yang tidak menentu.
Pemilik nama penuh Mohd Hanaffi Razak, 39, itu mengakui berasa segan melihat kerajinan Ebby yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk meluangkan masa bersama pelanggan dan rakan-taulan.
“Saya buat kejutan kali kedua sebab Abang Ebby orangnya rajin, selalu datang ke kedai dan itu buat saya segan sebab dia rajin sangat.
“Macam mana dia boleh datang ke kedai dan tidak penat, sedangkan dia datang pun sekadar mahu bersembang dengan pelanggan yang hadir. Lepas ini Abang Ebby boleh selalu datang kedai sebab dah dekat dengan rumah,” kongsi Ajak menerusi satu hantaran di akaun media sosial miliknya.
Menerusi hantaran sama, Ajak turut berkongsi jarak lokasi restoran terbaharu itu yang terletak tidak jauh dari rumah Ebby di Kampung Baru.
Dalam pada itu, menerusi video sama, Ebby yang kini berdepan masalah kesihatan turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kemurahan hati sahabatnya itu.
“Terima kasih banyak-banyak, Ajak... alhamdulillah. Saya tidak tahu mahu berkata apa, tetapi dalam keadaan begini saya amat bersyukur.
“Saya doakan Ajak dan seluruh pasukannya diberikan rezeki yang melimpah ruah oleh ALLAH SWT dan dapat terus berkongsi rezeki,” ujarnya.
Tindakan Ajak menerima pujian ramai netizen yang melihatnya sebagai contoh sahabat sejati. Di sebalik dunia seni yang penuh persaingan, masih wujud ruang untuk kasih sayang dan penghargaan yang tulen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

