Fizz Fairuz tamat tugas penyampai Suria FM

PELAKON dan penyampai radio, Datuk Fizz Fairuz, secara rasmi menamatkan tugasnya sebagai penyampai segmen Morning Morning Suria pada Jumaat.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Suria FM, yang turut merakamkan penghargaan atas khidmat dan sumbangan Fizz sepanjang satu tahun setengah bersama stesen radio tersebut.
“Sepanjang satu tahun setengah bersama Suria FM, Datuk Fizz Fairuz telah memainkan peranan penting dalam menceriakan hari-hari para pendengar.
“Beliau merupakan antara penyampai yang berbakat besar dan mempunyai hubungan baik dengan pendengar.
“Sepanjang bersama Suria, beliau telah menunjukkan profesionalisme dan semangat kerja yang tinggi,” kata kenyataan itu.
Pihak Suria FM turut mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kerjasama baik yang ditunjukkan pelakon drama Nur Kasih itu sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau dan mengharapkan kejayaan berterusan dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.
“Selamat maju jaya, Tok Fizz, terima kasih atas kenangan indah bersama Suria FM,” katanya lagi.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin menyertai Suria FM sebagai penyampai tetap pada awal 2024, bergandingan bersama Issey dan Ajak dalam segmen pagi yang mendapat sambutan hangat daripada pendengar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

