Tiga penyampai radio Era FM kembali bertugas selepas direhatkan

TIGA penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin Amir Affendy kembali ke udara menceriakan pendengar setia mereka pada Isnin.
Pengurus Jenama Era, Azah Sahrin berkata, ketiga-tiga penyampai radio itu kembali bersiaran melalui segmen 3Pagi Era selepas direhatkan selama sebulan.
“Kami akui menerima pelbagai maklum balas daripada pendengar Era yang merindui telatah dan celoteh Nabil, Pak Azad dan Radin.
“Selepas kami mengumumkan mereka kembali bersiaran seperti biasa iaitu pada hari ini, rata-rata pendengar meluahkan rasa teruja dan tidak sabar untuk mendengar semula gandingan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, ERA kekal fokus dalam menyampaikan kandungan dan pengisian terbaik sepanjang bulan Ramadan sepanjang tempoh rehat mereka.
Azah berkata, pelbagai aktiviti tetap dijalankan termasuklah Ais Batu Era yang dihantar secara percuma ke rumah pendengar walaupun ketiadaan tiga penyampai utama stesen radio terbabit.
Kongsi beliau lagi, ketiga-tiga penyampai segmen 3Pagi Era turut menyatakan keterujaan mereka untuk kembali ke konti selepas berehat seketika.
"Ini adalah peluang terbaik untuk mereka merapatkan kembali hubungan dengan para pendengar yang tidak pernah berhenti menyokong kerjaya mereka," ujarnya.
Azah turut memaklumkan, pelbagai aktiviti dan program akan diteruskan termasuklah mengenal pasti golongan memerlukan bagi misi bantuan Era seterusnya dengan kembalinya tonggak utama 3Pagi Era,
“Apa-apa pun, saya mewakili pengurusan Era ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pendengar setia Era yang sentiasa memberi semangat agar kami terus bangkit serta kekal relevan dalam industri penyiaran radio,” tambah beliau lagi.
Untuk rekod, selebriti dan pengacara Sharifah Shahira telah dilamar menggantikan posisi penyampai 3Pagi Era bersama Haziq dan Namie selepas trio terbabit direhatkan.
Terdahulu, Nabil, Azad dan Radin terpalit kontroversi susulan penularan sebuah video memaparkan salah seorang daripada mereka menari yang didakwa mempersendakan agama lain.
Bagaimanapun, lesen penyiaran pengendali stesen radio Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd tidak digantung, sebaliknya dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 bagi kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok stesen radio berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

