Solat sunat Istisqa mohon pulih sumber air terjejas

JOHOR BAHRU – Operator air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd menganjurkan solat sunat istisqa di kawasan Loji Rawatan Air (LRA), Sultan Ismail, Skudai, pada pagi Jumaat.
Dalam satu kenyataan akhbar, pihak Ranhill SAJ menjelaskan solat sunat berkenaan dianjurkan dalam usaha memohon hujan kepada ALLAH SWT di kawasan tadahan air yang kini mengalami gangguan bekalan akibat pencemaran ammonia, sejak Rabu.
"Langkah itu diambil sebagai salah satu ikhtiar memulihkan kembali sumber air mentah di kawasan terlibat yang kini berada di luar paras selamat untuk diproses.
"Jumlah akaun pengguna yang terjejas kini menurun kepada kira-kira 1,000 akaun berbanding 6,000 akaun yang dilaporkan sebelum ini.
"Semoga doa dan usaha ini mendapat keberkatan serta membawa kesejahteraan kepada semua pengguna yang terkesan akibat gangguan bekalan air dan cuaca panas yang berpanjangan," menurut kenyataan berkenaan.
Solat sunat berkenaan dipimpin oleh guru takmir Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Mohd Zunnurain Abdul Khohar itu turut disertai kakitangan Ranhill SAJ serta masyarakat setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
