Ahli UMNO, BN dilarang sertai Himpunan Turun Anwar

PONTIAN – Ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terlibat dalam Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebagai komponen dalam Kerajaan Perpaduan, penyertaan dalam himpunan itu yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN) adalah tidak wajar.
“Langsung tiada faktor yang mendesak untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim diturunkan daripada jawatan Perdana Menteri.
“Kerajaan Perpaduan ini dibentuk hasil kesepakatan yang dicapai pada 24 November 2022 dan ahli UMNO serta BN perlu kekal berpegang kepada persefahaman tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Pontian di Pejabat Daerah Pontian pada Jumaat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan; dan Yang Dipertua Majlis Belia Daerah (MBD) Pontian, Nor Mohammad Shawaludin Abd Malik.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, himpunan tersebut juga hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.
“Perhimpunan seperti ini tidak membawa sebarang manfaat, malah mereka yang menyertainya akan turut terpalit sebagai pihak yang merosakkan kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan sentiasa mendekati dan membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 kepada golongan B40.
“Memang ada yang kata RM100 tidak cukup, tetapi jumlah itu diberikan kepada 22 juta penerima melibatkan peruntukan RM2 bilion.
"Itu belum diambil kira lagi usaha kerajaan menurunkan harga minyak, program Jualan Rahmah dan kadar tol yang tidak dinaikkan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.
Ahmad turut menyentuh kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak akan bergerak secara solo sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Jelasnya, walaupun tidak bersendirian, BN tetap akan menggunakan logo sendiri dan terus bekerjasama dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

