Himpunan Turun Anwar terkawal, peserta mula berarak ke Dataran Merdeka

Keadaan di beberapa lokasi sekitar ibu negara ketika himpunan Turun Anwar pada Sabtu.
Keadaan di beberapa lokasi sekitar ibu negara ketika himpunan Turun Anwar pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Peserta Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang mula memenuhi beberapa lokasi sekitar ibu negara sejak awal pagi Sabtu sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman menjadi tumpuan utama para penyokong yang mula berkumpul seawal jam 7 pagi.

Kebanyakan mereka dilihat mengenakan pakaian serba hitam serta memakai lilitan kain putih di kepala sebagai simbol solidariti.

Bagaimanapun, keadaan di sekitar kawasan tersebut kekal aman dan terkawal dengan kehadiran puluhan anggota keselamatan yang bertugas mengawal laluan serta memastikan ketenteraman awam.

Selain Sogo, lokasi lain yang menjadi tumpuan termasuk Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Pasar Seni serta Masjid Jamek Kampung Baru.

Semua kawasan berkenaan dikawal ketat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak awal pagi.

Difahamkan, Unit Dron PDRM turut ditempatkan bagi pemantauan dari udara terhadap pergerakan peserta dan memastikan aspek keselamatan berjalan lancar.

Sementara itu, suasana di sekitar Masjid Negara kekal tenang, dengan beberapa peniaga mengambil peluang menjual baju-T berkaitan himpunan kepada penyokong yang hadir.

Sekitar jam 1 tengah hari, kumpulan peserta berpakaian hitam mula bergerak secara berperingkat dari lokasi masing-masing menuju ke Dataran Merdeka, yang dijangka menjadi lokasi kemuncak perhimpunan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Polis turut membuat kawalan rapi di sepanjang laluan utama termasuk di sekitar Pasar Seni dan Masjid Jamek bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Setakat ini, tiada sebarang kekecohan dilaporkan berlaku dan keadaan masih terkawal.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!