ADUN desak KPM selesai isu tanah terbiar berhampiran SK Sungai Puyu

BUTTERWORTH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengambil tindakan sewajarnya dalam menyelesaikan isu tanah terbiar bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Puyu, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze berkata, tanah Lot 889, Mukim 9, Daerah Seberang Perai Utara yang sekian lama terbiar mencetuskan kebimbangan, selain menjadi kawasan berisiko tinggi khususnya terhadap keselamatan murid serta warga sekolah.
Menurutnya, tanah berkenaan merupakan hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan berada di bawah tanggungjawab KPM.
“Tanah ini telah lama terbiar tanpa sebarang penyelenggaraan dan kini dipenuhi semak samun serta menjadi lokasi pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus mengundang ancaman kepada keselamatan murid dan guru.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat anak-anak kita, bukan kawasan yang terdedah kepada ancaman keselamatan dan kesihatan,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak di sini, baru-baru ini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Hakmal Effendi Ishak; Penghulu Kanan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara, Basri Abdul Hamid; serta wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

Syn Tze berkata, antara isu utama yang dikenal pasti hasil lawatan itu ialah kawasan pembiakan nyamuk yang berisiko membawa penyakit berbahaya, kehadiran ular berbisa yang telah beberapa kali memasuki kawasan sekolah semasa waktu pembelajaran, serta pencerobohan tanah kerajaan.
Tambahnya, pihak sekolah menerusi Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara telah mengemukakan permohonan kepada JPNPP untuk mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja penambakan tanah, pengukuran sempadan serta pemagaran kawasan berkenaan.
“Saya telah dimaklumkan bahawa pihak sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara telah mengemukakan permohonan kepada JPNPP untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja penambakan tanah, pengukuran semula sempadan dan pemagaran keseluruhan kawasan terbiar.
“Cadangan pemajuan semula kawasan ini sebagai padang sekolah baharu atau Padang Madani bukan sahaja akan menyelesaikan isu keselamatan yang sedang dihadapi, malah akan memberi kemudahan riadah dan pembangunan sahsiah kepada murid-murid dengan lebih selamat,” katanya lagi.
Ujarnya, keselamatan murid dan guru tidak boleh dipandang ringan dan meminta agar KPM menyegerakan kelulusan permohonan peruntukan bagi mengatasi masalah tersebut.
Syn Tze turut mencadangkan agar tanah-tanah kerajaan berhampiran sekolah di seluruh negara diberi perhatian sewajarnya supaya tidak menjadi liabiliti kepada komuniti.
“Jangan tunggu sehingga berlaku insiden tragis sebelum bertindak,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

