Bunyi bising rumah kosong bongkar perlombongan bitcoin haram

PUNCAK ALAM - Bunyi bising dari sebuah rumah tidak berpenghuni membongkar kegiatan perlombongan bitcoin secara haram di sebuah kawasan kediaman di Puncak Alam di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah tersebut kira-kira jam 10.12 malam pada 17 Julai lalu.
Menurutnya, pemilik memaklumkan bahawa unit rumah itu telah disewakan kepada seorang wanita pada 5 Jun lalu.
"Sekitar 17 Julai, isteri pengadu menerima pesanan WhatsApp daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Keselamatan Taman di kawasan perumahan berkenaan.
"Individu itu memaklumkan terdapat aduan daripada jiran mengenai bunyi bising berterusan serta haba panas dari 'exhaust fan' rumah terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Susulan laporan itu katanya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bersama tiga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor telah membuat pemeriksaan sekitar jam 11 malam pada 19 Julai lalu.
"Hasil pemeriksaan mendapati tiada penghuni di dalam rumah dan pihak SEAL TNB mengesahkan terdapat penyambungan elektrik secara haram dilakukan di premis tersebut.
"Pemeriksaan lanjut menemukan peralatan yang digunakan untuk aktiviti perlombongan haram bitcoin," katanya.
Beliau berkata, pihaknya merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
"Antara barangan yang dirampas ialah lima unit mesin bitcoin, satu kipas angin (blower), satu unit 'router' dan satu pam air.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.
Tambahnya, kegiatan perlombongan haram bitcoin bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memberi risiko kepada keselamatan penduduk dan kestabilan sistem bekalan elektrik.
"Penyambungan elektrik secara tidak sah ini boleh mengakibatkan kebakaran dan kejadian tidak diingini yang mengancam nyawa serta harta benda.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Azmi Mat Ali di talian 017-2080285," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

