Tangkap ikan secara haram, warga emas dan dua awak-awak Indonesia ditahan

Maritim Malaysia Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tiga awak-awak termasuk tekong kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Tanjong Karang, semalam.
Maritim Malaysia Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tiga awak-awak termasuk tekong kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Tanjong Karang, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tiga awak-awak termasuk tekong kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Tanjong Karang, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan jam pada 6.10 petang di kedudukan 9.2 batu nautika barat daya Tanjong Karang, bersama 100 kilogram ikan pelbagai jenis yang dipercayai hasil tangkapan menerusi kaedah yang melanggar undang-undang.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong lelaki, pemastautin tetap berusia 67 tahun, bersama dua awak-awak warga Indonesia masing-masing berumur 43 dan 37 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Abdul Muhaimin, siasatan awal mendapati bot terbabit turut melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk menggunakan mata pukat yang berukuran kurang daripada 38 milimeter, iaitu satu kesalahan dalam operasi penangkapan ikan.

"Ketiga-tiga individu terbabit bersama bot serta hasil tangkapan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat lesen serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!