Pegawai Imigresen ditahan kes bawa masuk warga asing secara haram

SEPANG – Padah terlibat membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan, seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 2 diberkas pada Khamis.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penahanan suspek dilakukan kira-kira jam 12.00 tengah hari hasil maklumat awam dan pemantauan oleh Unit Integriti JIM KLIA.
"Suspek sebelum ini dipercayai terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan imigresen.
"Pemeriksaan ke atas pegawai tersebut menemui sembilan pasport Pakistan dan dua pasport Sri Lanka yang disorok dalam sweater yang dipakainya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pegawai berkenaan telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JIM Ibu Pejabat untuk siasatan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
"Jabatan Imigresen Malaysia tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah sama ada di pintu masuk negara atau mana-mana Pejabat Imigresen di seluruh negara sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan dan negara.
"Tindakan dan hukuman yang berat akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah,” katanya.
Tegas beliau, JIM komited memastikan tahap integriti pegawai jabatan itu sentiasa berada di tahap maksimum.
“JIM serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

