Kedah sokong RUU Muzium, sedia jadi rakan strategik - Sanusi

Sultan Sallehuddin (kanan) berkenan berangkat merasmikan Festival HMAPK 2025 di Muzium Padi, Gunung Keriang disaksikan Sanusi (kiri) dan Kamarul Baharin (dua dari kiri).
Sultan Sallehuddin (kanan) berkenan berangkat merasmikan Festival HMAPK 2025 di Muzium Padi, Gunung Keriang disaksikan Sanusi (kiri) dan Kamarul Baharin (dua dari kiri).
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyambut baik usaha Kementerian Perpaduan Negara memperkukuh institusi muzium melalui cadangan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM) sebagai langkah penting ke arah tadbir urus profesional dan beretika, selaras piawaian antarabangsa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam usaha memelihara sejarah dan warisan negara, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan biarpun berbeza fahaman politik.

Menurutnya, Kedah akan terus memperkasakan Muzium Kedah sebagai institusi utama dalam penyelidikan sejarah dan arkeologi, pendidikan warisan kepada generasi muda, pusat rujukan budaya dan identiti negeri serta pemangkin kepada pelancongan berasaskan warisan.

“Kami juga menyokong usaha digitalisasi dan inovasi dalam penyampaian kandungan muzium agar lebih inklusif dan mesra generasi baharu. Muzium mesti menjadi ruang terbuka, mesra dan relevan kepada semua golongan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (HMAPK) 2025 di Muzium Padi, Gunung Keriang pada Khamis.

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat merasmikan Festival HMAPK yang berlangsung dari 23 hingga 29 Julai.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim.

Sanusi berkata, Kedah bukan sekadar negeri tertua di Malaysia, malah Kesultanan Kedah yang berusia 889 tahun merupakan antara institusi diraja tertua di dunia yang masih wujud.

“Ini amanah besar untuk kita pelihara dan wariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, Kedah turut menetapkan dasar menyeluruh dalam pemeliharaan warisan negeri, termasuk perlindungan tapak dan monumen bersejarah, pemuliharaan artifak serta manuskrip penting, promosi pelancongan berasaskan warisan seperti Mek Mulong serta usaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO.

“Muzium bukan sekadar tempat menyimpan sejarah, tetapi platform untuk menghidupkan semula warisan dalam bentuk lebih segar dan interaktif.

“Kehadiran lebih 1,000 warga muzium dari seluruh negara, termasuk dari Singapura dan Indonesia, membuktikan bahawa warisan adalah milik bersama dan perpaduan budaya serantau terus kita junjung,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran Festival HMAPK 2025 bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 bertemakan ‘Experience Kedah’, yang merangkumi lima komponen utama iaitu alam semula jadi, gastronomi, seni dan budaya, sejarah serta pengalaman komuniti.

Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, cadangan penggubalan RUUMM bertujuan memastikan institusi muzium negara termasuk muzium persendirian ditadbir selaras piawaian UNESCO dan Kod Etika International Council of Museums (ICOM).

“Pada masa ini, terdapat 217 buah muzium di seluruh negara dengan lebih empat juta pengunjung setahun.

“Pematuhan kepada amalan terbaik ini akan memastikan institusi muzium berfungsi secara profesional dan beretika, tanpa dicemari unsur kontroversi atau menyentuh sensitiviti kaum,” katanya.

Beliau berharap cadangan RUUMM akan diterima baik semua negeri agar institusi muzium di Malaysia menjadi lebih progresif dan relevan kepada masyarakat, selaras usaha menjadikan muzium sebagai penghubung perpaduan melalui khazanah sejarah dan budaya.

“Pendekatan kreatif dengan teknologi baharu akan menarik penglibatan aktif generasi muda, seiring hala tuju permuziuman global yang menjadikan muzium sebagai entiti dinamik, berperanan dalam komuniti serta terus relevan dalam dunia yang pantas berubah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!