Mengamuk baling helmet ke arah ibu, ugut bunuh ahli keluarga

Lelaki berusia 45 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis kira-kira jam 7 malam Isnin. Gambar hiasan.
Lelaki berusia 45 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis kira-kira jam 7 malam Isnin. Gambar hiasan.
A
A
A

 

TAWAU - Hanya kerana tidak diberikan wang, seorang lelaki tergamak membaling topi keledar ke arah ibunya dan melakukan ugutan bunuh dalam kejadian di sebuah kampung di Kalabakan.

Lelaki berusia 45 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis kira-kira jam 7 malam Isnin selepas menerima makluman awam berhubung kejadian itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh mengesahkan tangkapan tersebut melibatkan seorang lelaki tempatan yang bertindak agresif terhadap ahli keluarganya.

"Ketika tangkapan dibuat, suspek yang juga penagih dadah berada di luar rumah sedang mengamuk dan bertindak membaling topi keledar ke arah ibunya.

"Suspek turut didakwa melakukan ugutan mahu membunuh ibu bapa serta ahli keluarganya jika tidak memberikannya wang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, susulan kejadian itu, suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek direman bermula hari ini hingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

Champin turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kes keganasan dalam keluarga dan menyeru orang ramai tampil membuat laporan sekiranya berlaku insiden seumpama itu.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!