Anjung Kinabalu: Wajah baharu, nadi ekonomi rakyat Sabah

Saya melangkah ke Anjung Kinabalu saat matahari perlahan-lahan tenggelam di balik bumbung Kota Kinabalu. Cahaya jingga senja memantul indah pada gerai-gerai jualan, senyuman para peniaga dan wajah-wajah pelancong yang rancak merakam suasana petang itu.
Sesekali kedengaran riuh rendah perbualan antara pelancong Korea Selatan dan peniaga tempatan. Suara mereka bertingkah mesra ketika si peniaga menunjukkan buah mangga dan durian untuk dicicip, sambil menerangkan kemanisannya dalam bahasa Korea yang dipelajari sendiri demi memikat hati pelanggan.

Dulu, kawasan ini dikenali sebagai 'Pasar Filipina', satu nama tidak rasmi dalam kalangan penduduk setempat. Suasananya sibuk, sesak dan sering becak terutama ketika hujan, menyebabkan pengunjung terpaksa menikmati makanan dalam keadaan kurang selesa, berlindung di bawah khemah sempit atau berjinjit mengelak lopak air.
Walaupun saya jarang berkunjung, namun petang ini kedatangan dan langkah saya disambut oleh aroma ikan bakar yang menggoda selera, sambil mata saya menangkap perubahan besar yang berlaku.

Tiada lagi lopak becak di seluruh kawasan apabila kini telah disimen dan sebahagiannya dilengkapi bumbung, memberikan suasana yang jauh lebih selesa dan tersusun.
Di kiri dan kanan laluan, pelbagai snek tradisional tempatan seperti amplang, kuih cincin dan kerepek dijual, manakala di satu lagi ruangan, lot-lot kraftangan terkenal dengan batu mutiaranya yang asli disusun rapi mencerminkan budaya dan identiti rakyat Sabah yang kaya dan bersemangat.

Di sinilah saya sedar bahawa kawasan ini, yang kini dikenali sebagai Anjung Kinabalu selepas penjenamaan semula pada 2024, bukan sekadar berubah secara fizikal, tetapi turut mengalami transformasi makna. Ia kini menjadi wajah baharu pasaran produk Sabah yang dibina atas akar komuniti sendiri.
Penjenamaan semula ini bukan sembarangan, nama 'Anjung' merujuk kepada konsep lokasi pesisir pantai, manakala 'Kinabalu' membawa simbol kekuatan identiti negeri. Ia juga kesinambungan kepada lokasi-lokasi sedia ada seperti Anjung Senja dan Anjung Selera.

Saya sifatkan bahawa penjenamaan semula ini adalah sebagai menggantikan nama lama yang kurang mencerminkan citra lokal dan memberikan maruah baharu kepada kawasan ini.
Hari ini, pengunjung lebih mudah mengenal pasti kawasan ini sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan utama di tengah-tengah Kota Kinabalu.
Anjung Kinabalu kini dibahagikan kepada lima blok utama dengan identiti tersendiri: pasar malam, pasar kraftangan, pasar Sinsuran, pasar buah dan pasar ikan masin.
Setiap blok dinamakan berasaskan unsur tempatan: D’Walai Suri, D’Walai Mutiara, D’Walai Cincin, D’Walai Haruman dan D’Walai Matabiru, di mana ‘Walai’ membawa maksud ‘rumah’ dalam bahasa etnik tempatan.

Saya sendiri berasa lebih selamat dan selesa, biarpun membeli-belah hingga lewat malam. Sistem pencahayaan yang terang dan laluan yang luas memudahkan pergerakan. Gerai pula disusun secara sistematik hasil pengurusan rapi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Setelah puas menjamu selera dan membeli belah, saya berehat di kaki lima D’Walai Mutiara sambil memerhati kelincahan tangan tukang jahit yang kebanyakannya lelaki tekun membaiki seluar dan baju pelanggan dengan mesin jahit masing-masing.

Daripada makanan laut hingga ke makanan tradisional, daripada pasar basah ke kraftangan dan perkhidmatan jahitan, segalanya kini berpusat di bawah satu bumbung. Ini bukan sahaja menjadikan Anjung Kinabalu sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai pusat menjana pendapatan bagi golongan B40.
Bukan semua di sini berniaga. Ada yang bekerja sebagai jurujual, buruh atau pembantu angkat barang, dan mereka semua berkongsi rezeki yang dicurah daripada denyut nadi pasar ini.

Saya sempat berbual dengan seorang jurujual mangga ketika mencari buah-buahan. Pemuda belasan tahun itu sedikit fasih berbahasa Korea, dan kemahirannya itu berjaya memikat hati pelancong dari negara K-Pop sehingga gerainya sering dikerumuni.
Menurutnya, disebabkan tekanan pandemik Covid-19 yang lalu, dia tidak memilih pekerjaan dan menjadi jurujual buah-buahan di pasar tersebut. Kebetulan, selepas pembukaan semula pintu masuk negara, kemasukan pelancong dari Korea yang ramai turut membantu meningkatkan jualan hariannya.

Malah, kelebihannya yang pernah tular di media sosial menjadikannya dikenali dalam kalangan pelancong tetap.
Saya lihat, Anjung Kinabalu bukan lagi sekadar pasar, ia adalah lambang perubahan, sedang bangkit, pengupayaan komuniti dan wajah baharu usaha kerajaan negeri memperkenalkan semula Sabah kepada dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
