Pengumuman Perdana Menteri ibarat ‘oksigen’ buat rakyat

DALAM suasana ekonomi yang mencabar, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu berhubung beberapa langkah kerajaan diharap memberi kelegaan kepada rakyat.
Siaran langsung pengumuman yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia sejak Isnin minggu lepas itu menyaksikan beberapa inisiatif penting yang diyakini mampu meredakan tekanan kos sara hidup.
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah pengumuman bantuan tunai secara langsung kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang menerima RM100 sekali bayar melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pada masa sama, kerajaan turut mengumumkan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter apabila penyasaran subisidi dilaksanakan akhir September ini.
Dalam pengumuman yang sama, kerajaan juga bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya tahun ini bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada.
Bukan itu sahaja, kerajaan turut mengisytiharkan 15 September sebagai hari pelepasan am tambahan sempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Meskipun jumlah RM100 yang mampu memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion melalui bantuan SARA itu mungkin tidaklah besar seperti diharapkan sesetengah individu, namun pasti ramai khususnya golongan memerlukan teruja menerima bantuan tersebut.
Begitu juga, hari pelepasan tambahan 15 September yang mungkin kelihatan kecil dari sudut ekonomi, tetapi dalam konteks moral dan psikologi, ia adalah satu bentuk penghargaan yang mampu menyemarakkan semangat perpaduan dan kebanggaan nasional.
Kesemua pengumuman ini dibuat dalam latar belakang ekonomi global yang tidak menentu dengan tekanan inflasi, ketegangan geopolitik dan ketidakstabilan harga komoditi.
Secara keseluruhan, pengumuman tersebut memberi mesej yang jelas bahawa kerajaan Madani mendengar denyut nadi rakyat dan berusaha segera membantu dalam ruang fiskal yang ada.
Pendekatan terbabit dilihat seimbang antara keperluan ekonomi dan tanggungjawab sosial.
Bagaimanapun, rakyat pastinya mahu melihat janji berkenaan diterjemah dengan cepat, telus dan berkesan.
Hanya dengan itu keyakinan terhadap kerajaan dapat diperkukuh dalam jangka masa panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

