[VIDEO] Putri Qisya cemerlang raih 7A peperiksaan, aktif sukan

A
A
A

JITRA - Anak sulung kepada keluarga enam beranak mangsa tragedi Terusan Sungai Korok memperoleh keputusan 7A dari 12 subjek pada Peperiksaan Pertengahan Tahun Darjah Enam baru-baru ini.

Keputusan meraih A dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Jawi, Muzik, Pendidikan Jasmani dan Seni Visual menyaksikan Putri Qisya Nur Izzat, 12 menduduki tempat pertama di dalam kelasnya.

Putri Qisya yang baru memulakan sesi persekolah sejak dua hari lalu selepas tragedi menyedihkan awal Julai dilihat gembira berkongsi keputusan berkenaan kepada keluarga sebaik pulang dari Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru, Alor Setar.

Ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, berkata, tumpuan kini adalah untuk membantu Putri Qisya membaiki keputusan subjek utama seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Putri Qisya semasa menerima kunjungan dan sumbangan sebuah komputer riba dari Fast Track Academy dari Pulau Pinang bagi kegunaan tuisyen dalam talian selama setahun.
Putri Qisya semasa menerima kunjungan dan sumbangan sebuah komputer riba dari Fast Track Academy dari Pulau Pinang bagi kegunaan tuisyen dalam talian selama setahun.

“Dia memang budak dalam kategori pandai, mungkin ada subjek yang dia kurang minat di samping aktif aktiviti kokurikulum di sekolah menyebabkannya tidak sempat belajar.

“Bila dapat tawaran tuisyen secara percuma dalam talian, saya sangat bersyukur dan menerima.

"Memang sebelum ini kita sedang cuba untuk membantu dia dengan mencari kelas-kelas tuisyen seperti ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Aman di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Fast Track Academy dari Pulau Pinang yang menyerahkan sumbangan sebuah komputer riba dan tajaan tuisyen dalam talian secara percuma selama setahun kepada Putri Qisya.

Nur Adliah Syuhada berkata lagi, beberapa subjek utama berkenaan mahu diberikan perhatian bagi memastikan impian anak saudaranya untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tercapai.

Putri Qisya dilihat semakin ceria di samping neneknya, Nazirah Ismail semasa ditemui di Taman Seri Aman, Jitra pada Rabu.
Putri Qisya dilihat semakin ceria di samping neneknya, Nazirah Ismail semasa ditemui di Taman Seri Aman, Jitra pada Rabu.

“Kami sekeluarga akan menyokong dan memantau sepenuhnya pendikan Putri Qisya dan mahu dia belajar betul-betul selepas ini.

"Wakil MRSM ada beritahu untuk minta pantau akademik Putri Qisya terutamanya melibatkan subjek utama,” ujarnya.

Mengulas perkembangan dua hari pertama anak saudaranya ke sekolah, dia berkata, Putri Qisya dilihat bersemangat malah guru serta rakannya juga banyak memberikan sokongan sepanjang berada di sekolah.

Katanya, perubahan positif dapat dilihat pada Putri Qisya hari ini berbanding beberapa hari selepas tragedi yang menyaksikan semua ahli keluarganya meninggal dunia dalam tragedi Terusan Sungai Korok.

“Alhamdulilah, setakat sekarang tidak ada kawan-kawan yang tanya soalan sensitif dan mungkin cikgu sudah kawal dari awal.

“Hari pertama dia masuk sekolah pun dah naik pentas dapat tiga hadiah dalam acara sukan, dia memang aktif dalam sukan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fast Track Academy, Syed Ahsan Shahul Hameed berkata, Putri Qisya akan memulakan tuisyen secara percuma setahun dengan pakej emas berjumlah kira-kira RM3,000 bermula Ogos ini.

Menurutnya, kelas diadakan bermula jam 8 malam sehingga 10 malam pada sebelah malam seminggu tiga hari yang dikendalikan guru berpengalaman dengan menggunakan kaedah pembelajaran terkini.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian menyayat hati itu meragut nyawa enam sekeluarga termasuk empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, berusia enam bulan.

Kesemua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa, Jerlun,

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!