[VIDEO] Ops Kesan 4.0: KPDN Johor terima empat aduan kenaikan harga
JOHOR BAHRU – Empat aduan rasmi diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor berkaitan pelaksanaan Ops Kesan 4.0 sejak ia bermula 1 Julai lalu.
Pengarah KPDN negeri, Lilis Saslinda Pornomo berkata, semua aduan itu kini dalam tindakan siasatan melibatkan satu kedai runcit, dua bengkel dan satu parkir kenderaan.
Menurut beliau, premis terletak Johor Bahru dan Kota Tinggi didakwa menaikkan harga susulan peluasan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Kita sedang meneliti setiap aduan secara menyeluruh untuk memastikan sama ada benar berlaku pencatutan atau pelanggaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Siasatan melibatkan semakan dokumen harga, kos dan tahap kerjasama peniaga dalam memberikan maklumat yang diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas sesi turun padang pemantauan Ops Kesan 4.0 di Larkin pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Johor, Mohd Fuzi Hadi Abd Latif.
Sementara itu, Lilis Saslinda berkata, sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 4.0 dari 1 hingga 21 Julai lalu, sebanyak 48 premis telah diperiksa di seluruh negeri.
"48 premis ini melibatkan 235 Unit Penyimpanan Stok (SKU) diperiksa.
"Kita melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan sebelum serahkan notis NPMB yang mana ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat lengkap dari peniaga berkaitan harga, kos dan margin keuntungan sebagai mekanisme siasatan," jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa Ops Kesan 4.0 dilaksanakan bagi memastikan tiada peniaga sewenang-wenangnya menaikkan harga atas alasan pelaksanaan semula SST.
“Kita guna pendekatan pendidikan dan penguatkuasaan. Dalam masa sama, tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat kenaikan harga yang tidak munasabah.
"KPDN Johor menggesa pengguna di Johor yang berdepan situasi mencurigakan berkaitan harga barangan supaya segera menyalurkan aduan kepada KPDN untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


