Bekas Pengarah Belia dan Sukan Melaka didakwa terima rasuah

JOHOR BAHRU - Bekas Pengarah Belia dan Sukan Negeri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan memerima suapan bernilai RM4,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Khairul Adri Rosli, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Khairul Adri dituduh menerima wang bernilai RM4,000 daripada wakil sebuah syarikat kontraktor baik pulih menerusi akaun syarikat ke dalam akaun seorang wanita yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi berkaitan kerja-kerja membina pondok pengawal di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka berjumlah RM49,950.
Kesalahan dilakukan di dua buah bank berbeza di Tampoi dan Permas Jaya di sini pada 6 Januari 2023 dan 16 Februari 2023.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Asmah Zainal Ariffin menawarkan wang jaminan RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Khairul Adri yang diwakili Peguam, Nurashidah Md Razip merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya turut berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Melaka pada 17 Jun lalu yang menetapkan wang jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan yang tertuduh tidak mengaku bersalah.
Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.
Bagaimanapun, permohonan peguam untuk mengguna pakai jaminan sama di Mahkamah Sesyen Melaka tidak dapat dibenarkan.
Tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen ditetapkan pada 29 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

