[VIDEO] Ismanira diperintah bela diri, lima saksi termasuk suami bakal dipanggil – Peguam

A
A
A

PETALING JAYA – Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf akan membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak autistik itu selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin memutuskan bahawa wujud kes prima facie terhadap dirinya.

Peguam bela, Haresh Mahadevan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil lima saksi, termasuk suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari yang telah dibebaskan daripada pertuduhan sama pad pagi tadi.

Terdahulu, Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan, manakala wujud prima facie terhadap Ismanira untuk menjawab pertuduhan.

Pasangan berusia 30 tahun itu dilihat keluar dari mahkamah sekitar jam 12.35 tengah hari untuk berehat sementara menunggu perbicaraan disambung semula pada jam 2 petang.

Ismanira yang diwakili barisan peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang tertuduh bagi membolehkan pihak pendakwaan menyoal balas keterangannya.

Haresh Mahadevan (kanan) bercakap kepada pemberita di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas keputusan kes mengabaikan Zayn Rayyan pada Isnin. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Haresh Mahadevan (kanan) bercakap kepada pemberita di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas keputusan kes mengabaikan Zayn Rayyan pada Isnin. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Mengikut pertuduhan pindaan, dia bersama suaminya sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, didakwa telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan anak sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokan harinya.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya pada malam 6 Disember 2023 selepas dilaporkan hilang sejak hari sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!