'Setiap program walaupun bertujuan baik, wajib patuh prosedur '

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan membidas penjelasan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bahawa program yang berlangsung di sebuah rumah banglo di Kemumin bukanlah ‘perjumpaan gay’ sebagaimana tular, sebaliknya merupakan program kesedaran kesihatan berkaitan HIV dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan iaitu Sahabat dengan pemantauan Yayasan Bantuan AIDS Malaysia.

"Kerajaan negeri menegaskan bahawa setiap bentuk penganjuran program walaupun bertujuan baik, wajib dilaksanakan dengan penuh tertib serta mematuhi prosedur dan peraturan sedia ada.

"Kami (kerajaan negeri) memandang serius berhubung pelaksanaan program tersebut yang diadakan tanpa makluman rasmi kepada pihak berkuasa negeri mahupun agensi penguat kuasa berkaitan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Menurut beliau, pihak penganjur bertanggungjawab untuk memaklumkan lebih awal kepada pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham atau persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Ujarnya, pemilihan tempat dan masa pelaksanaan juga perlu diambil kira dengan bijaksana.

Mohamed Fadzli memberitahu, penganjuran program yang berlangsung sehingga jam dua pagi di kawasan kampung seperti Kemumin sememangnya menimbulkan kegusaran masyarakat setempat

"Tindakan sedemikian boleh ditafsir sebagai kurang sensitif terhadap suasana dan norma penduduk setempat. Maka tidaklah menghairankan sekiranya aduan dibuat kepada pihak polis.

"Kerajaan negeri kekal konsisten dalam usaha memelihara keharmonian sosial dan ketenteraman awam. Walaupun niat asal program tersebut bersifat kesihatan dan pencegahan, namun kaedah pelaksanaannya yang tidak melalui saluran kelulusan sewajarnya telah menimbulkan salah tanggap serta tohmahan kepada banyak pihak termasuk pentadbiran negeri sendiri," katanya.

Justeru tambah beliau, kerajaan negeri berpandangan bahawa penjelasan awal dan terbuka daripada pihak berkaitan amat penting bagi meredakan kekeliruan awam.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kelewatan memberikan penerangan hanya akan mengundang pelbagai tafsiran yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

"Tambahan pula, difahamkan bahawa Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri sendiri tidak dimaklumkan lebih awal mengenai penganjuran program tersebut.

"Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran yang menimbulkan kekeliruan, mencetuskan keresahan masyarakat atau menggugat nilai moral serta adab yang telah sekian lama menjadi asas kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

Sebelum itu media tempatan melaporkan Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa program yang diserbu polis Kelantan bulan lepas atas alasan 'pesta gay' sebenarnya program kesedaran kesihatan berkaitan HIV.

Bagaimanapun, kementerian tidak memberikan sebarang ulasan mengenai serbuan polis tersebut.

Pengesahan itu dibuat menerusi jawapan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad di X malam tadi, sebagai respons kepada hantaran yang memintanya mempertahankan program kesedaran HIV itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!