Tindakan tegas terhadap peniaga berselindung edar dadah – Polis

KUALA TERENGGANU - Polis memberi amaran keras terhadap mana-mana individu yang berselindung di sebalik perniagaan kosmetik atau jualan dalam talian bagi menjalankan kegiatan pengedaran dadah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menjadikan perniagaan sebagai 'topeng' untuk menjalankan kegiatan haram tersebut.
"Jangan ingat kita tidak tahu. Kita tahu dan kita sedang memantau. Individu yang menyamar sebagai peniaga kosmetik atau produk kecantikan untuk mengedar dadah pasti akan diberkas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik bagi Program Pelupusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Selasa.
Menurutnya, hasil risikan mendapati ada dalam kalangan peniaga yang menggunakan platform jualan dalam talian sebagai helah untuk mengaburi kegiatan jenayah mereka.
"Baru-baru ini kita turut menahan seorang peniaga kosmetik dikenali sebagai 'Man Hidung' selepas disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sebalik perniagaan sahnya.
"Tindakan itu bukan sahaja memperdaya pihak berkuasa, malah memperjudikan keselamatan masyarakat dan negara," ujarnya.
Pada majlis itu, sebanyak 56.2 kilogram (kg) dan 2,572.54 liter dadah pelbagai jenis dengan anggaran nilai RM1.1 juta telah dilupuskan.
Mohd Khairi berkata, pelupusan itu membabitkan 2,999 kertas siasatan daripada tujuh daerah di seluruh Kontinjen Terengganu bagi tempoh 2001 hingga 2025.
"Semua kes berkenaan telah selesai proses perbicaraan dan menerima perintah mahkamah untuk pelupusan barang kes di bawah peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
"Antara jenis dadah yang dilupuskan termasuk pil Yaba, syabu, heroin, ganja, pil Eramin 5, ubat batuk mengandungi kodein, daun dan air ketum serta pil psikotropik.
"Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 19.6kg pil Yaba, syabu (1.9kg), heroin (2.7kg), ganja (1.2kg), pil Eramin 5 (0.5kg), air ketum (2.6 liter), daun ketum (29.9kg), ubat batuk (119 liter) dan 220.88 gram pil psikotropik telah dilupuskan," katanya.
Tambah Mohd Khairi, langkah pelupusan ini bukan sahaja menzahirkan ketegasan PDRM dalam membanteras jenayah dadah, malah turut menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM62,971,698 nilai rampasan dadah direkodkan sehingga 20 Julai tahun ini berbanding RM1.3 juta dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Jelas beliau, bagi kes tersebut, seramai 7,832 individu telah ditahan berbanding 7,239 pada tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
