Selangor larang guna i-mesra isytihar status halal premis, produk

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menolak pelaksanaan sistem 'i-Mesra' sebagai platform membuat pengesahan atau perakuan status halal bagi premis dan produk makanan di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, tindakan menggunakan sistem itu boleh mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam kerana ia tidak menjamin pematuhan terhadap piawaian halal ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa.
Menurutnya, hanya Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang diiktiraf sebagai bukti sah status halal sesuatu premis atau produk.
"Kerajaan Negeri menggesa semua pengusaha dan pemilik premis di seluruh Negeri Selangor agar tidak menggunakan i-Mesra atau sebarang platform yang tidak diperakui untuk membuat pengisytiharan halal.
"Langkah ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan memastikan keyakinan umat Islam terhadap status halal terus terpelihara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut memberi amaran tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan logo atau takrifan halal secara mengelirukan.
Katanya, tindakan itu boleh dikenakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 serta Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
"Kerajaan Selangor komited untuk memastikan umat Islam di negeri ini dapat membuat pilihan yang bersih, suci dan halal selaras dengan kehendak syarak serta undang-undang yang berkuat kuasa," tambah beliau.
Sebarang aduan berkaitan penyalahgunaan logo halal boleh disalurkan kepada Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Halal JAIS melalui talian 03-5514367, 011-55820212 atau emel ke unitpenguatkuasaanhalal.jais@gmail.com / aduanpenguatkuasaanhalal@jais.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

