Pelaksanaan sistem tunggal tangani pertindihan tawaran ke SBP, MRSM, sekolah khusus

PUTRAJAYA – Pelaksanaan sistem tunggal bagi penawaran penempatan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan sekolah khusus bermula tahun tahun depan bertujuan untuk menangani pertindihan tawaran.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan perkara yang telah disepakati bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu bagi memastikan pelajar yang benar-benar layak mendapat tempat.
"Ia juga memastikan pengurusan sumber yang baik serta pengisian tempat di SBP, MRSM dan sekolah khusus dapat dilaksanakan secara optimum," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar kementerian itu, pihaknya dan MARA memberi tumpuan kepada aspek pemilihan pelajar yang lebih adil dan inklusif.
"Penawaran sebanyak 60 peratus diperuntukkan kepada calon daripada keluarga B40 di kawasan luar bandar dan miskin bandar," jelas KPM.
Tambahnya, calon sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) boleh memohon melalui Sistem Permohonan Sekolah Khusus.
"Bagi calon sekolah yang tidak berdaftar bawah KPM boleh memohon menggunakan sistem MyMRSM yang diuruskan oleh MARA," katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui sistem berkenaan, setiap pemohon hanya akan menerima satu tawaran penempatan sama ada daripada MRSM, SBP atau sekolah khusus.
Sebelum ini pelajar berpotensi menerima lebih daripada satu tawaran, menyebabkan banyak ruang pembelajaran tidak diisi apabila tawaran ditolak, sekali gus menafikan peluang kepada pelajar lain yang layak.
Lazimnya di antara 10 hingga 15 peratus tempat tidak diisi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

