Minyak masak bersubsidi: KPDN kena siasat sampai lubang cacing

LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan penyelewengan serius dalam sistem pengedaran minyak masak bersubsidi satu pengkhianatan terhadap dasar membantu rakyat berpendapatan rendah.
Subsidi yang sepatutnya dinikmati isi rumah, rupa-rupanya dibolot syarikat makanan, kedai makan, malah warga asing.
Modus operandi mereka tersusun dan berlapis cukup untuk membunyikan loceng kecemasan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Antara kes yang dikesan, satu peruncit berdaftar sebagai 1022272-X menjual 170 peket minyak bersubsidi bernilai RM425 kepada syarikat makanan bukan sekali gus, tetapi melalui 60 resit berasingan.
Ia membuktikan wujud manipulasi sistematik untuk mengaburi transaksi sebenar.
Di Terengganu, Kedai Runcit TR0005815-V pula menjual 23 kilogram (kg) minyak subsidi dalam dua transaksi melebihi had manakala di Kelantan, syarikat KT0252216-W yang didaftarkan sebagai kedai makan, menyimpan 204kg minyak subsidi dan membeli lebih 11 tan sepanjang tahun, jelas melebihi keperluan biasa sebuah premis makanan kecil.
Lebih memeranjatkan, ada pemborong di Kuala Terengganu didapati membuat 189 transaksi melibatkan 31,059kg minyak subsidi bernilai lebih RM77,000, semuanya direkodkan sebagai ‘cash sale’, tanpa identiti pembeli.
Ia bukan lagi kecuaian, tetapi seolah-olah satu lubang besar dalam sistem.
LKAN turut mendedahkan, sepanjang 2019 hingga 2024, pengeluaran minyak subsidi hanya 82.6 peratus daripada kuota ditetapkan. Namun, rakyat masih beratur panjang mencari minyak peket, ke mana hilangnya baki?
Lebih membimbangkan, tiada langsung syarat kelayakan ditetapkan kepada pembeli. Akibatnya, sesiapa pun termasuk warga asing boleh membeli minyak subsidi tanpa sekatan.
KPDN wajib turun padang, siasat habis-habisan, penyamaran dan siasatan forensik perlu dilakukan ke atas pemborong dan peruncit, manakala audit menyeluruh terhadap pembungkus dan pengilang mesti dipergiat.
Dasar subsidi berkenaan sudah berlubang di banyak tempat, ketirisan perlu ditampal segera dengan tindakan tegas dan perundangan keras terhadap mereka yang menyeleweng.
Kerajaan perlu menggubal peraturan jelas iaitu melarang jualan kepada bukan warganegara dan syarikat komersial, setiap transaksi mesti berasaskan pengesahan identiti seperti MyKad, bukannya sekadar ‘jual, rekod, lupa’.
Pemantauan digital masa nyata mesti dilaksana agar transaksi tanpa nama seperti ‘cash sale’ tidak lagi jadi lubang tikus kepada sindiket.
Akhir sekali, kerajaan wajib semak semula kuota 60,000 tan dan anggaran penggunaan 1.5kg sebulan. Subsidi mesti berdasarkan data sebenar, bukan andaian dan bukan untuk mengenyangkan perut peniaga culas.
Kalau benar mahu bantu rakyat, siasatlah sampai lubang cacing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
