Usaha tarik pelaburan berhasil, 87 peratus telah direalisasi –Tengku Zafrul

Tengku Zafrul.
Tengku Zafrul.
A
A
A

PUTRAJAYA – Sebanyak 87 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan sejak tahun 2021 telah pun direalisasikan dan dilaksanakan setakat suku pertama 2025, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“87 peratus ya. Bukan 8 peratus, bukan 18 peratus, tapi 87 peratus. Ini menunjukkan komitmen dan keberkesanan langkah pemudahcara yang kita jalankan,” tegas beliau menerusi satu video berdurasi hampir tiga minit yang dimuat naik di Facebook rasminya pada Isnin.

Video itu dimuat naik sebagai maklum balas kepada dakwaan kononnya lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara hanya menghasilkan pengumuman potensi pelaburan tanpa sebarang hasil nyata yang boleh dilihat rakyat.

Menurut beliau, setiap misi pelaburan dan perdagangan yang diketuai Perdana Menteri dan kementeriannya sentiasa dipantau secara rapi, bermula dari rundingan awal sehingga pelaksanaan projek.

“Setiap kali PM pergi overseas, mesti umum potensi pelaburan dan perdagangan. Tapi hasilnya tak nampak pun. Betul ke?

“Dari potensi hinggalah realisasi, setiap langkah sentiasa dipantau. PM dan saya sendiri akan berjumpa dengan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat agregasi dunia untuk yakinkan mereka melabur di Malaysia,” katanya.

Jelas Tengku Zafrul, sebaik syarikat memberi komitmen untuk melabur, ia akan dikategorikan sebagai potensi pelaburan dan dipantau oleh Jawatankuasa Task Force Pemudahcara Pelaburan (JT3P).

“Mereka akan adakan libat urus lanjut dengan syarikat terlibat untuk memudah cara kemasukan pelaburan ke Malaysia. Kita bantu dari segi pengemukaan permohonan pelaburan, namun hanya yang memenuhi semua syarat sahaja akan diluluskan.

“Kalau tak penuhi syarat, kita tak boleh luluskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas jumlah pelaburan yang diluluskan sejak tahun 2022, beliau berkata usaha agresif kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan membuahkan hasil memberangsangkan.

“2022, kita catat RM267.8 bilion. Tahun 2023 meningkat kepada RM329.5 bilion, manakala 2024 pula mencecah RM384.4 bilion, dua tahun tertinggi dalam sejarah.

“Kalau kita tak usaha gila-gila untuk promosi pelaburan, macam mana nak pecah rekod macam ini?” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan tidak hanya menumpukan kepada angka komitmen semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pelaksanaan agar setiap pelaburan membawa manfaat sebenar kepada ekonomi negara dan rakyat.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!