Mahkamah Persekutuan putuskan perkataan 'menghina', 'menjengkelkan' selaras Perlembagaan

Mahkamah Persekutuan memutuskan perkataan 'menghina' dan 'menjengkelkan' di bawah Akta 588 adalah sah dan selaras dengan Perlembagaan.
Mahkamah Persekutuan memutuskan perkataan 'menghina' dan 'menjengkelkan' di bawah Akta 588 adalah sah dan selaras dengan Perlembagaan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan pada Jumaat memutuskan bahawa perkataan 'menghina' dan 'menjengkelkan' di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah sah dan selaras dengan Perlembagaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan bahawa sebarang komunikasi dalam talian yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menjengkelkan, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain merupakan suatu kesalahan jenayah.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan penting itu selepas membenarkan sebahagian rayuan kerajaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memutuskan dua perkataan itu di bawah akta berkenaan sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Turut bersidang hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah,

Hakim Nallini ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, berkata, tujuan Seksyen 233 (1) (a) akta berkenaan adalah untuk mengawal penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian dengan matlamat menyediakan persekitaran dalam talian yang selamat.

"Seksyen itu bertujuan melindungi individu dan masyarakat daripada mengalami sebarang kemudaratan akibat penggunaan perkataan tidak wajar sedemikian," katanya sambil menegaskan seksyen itu menyasarkan komunikasi yang berada di luar skop kebebasan bersuara dan kebebasan menyatakan pendapat.

Bagaimanapun, berhubung kes aktivis Heidy Quah, beliau berkata, mahkamah berpendapat pendakwaan sepatutnya tidak diteruskan terhadapnya kerana kandungan hantaran beliau di Facebook adalah dalam skop hak kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat di bawah Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh dijadikan asas untuk mendakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) akta itu.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan 'menghina' dan 'menjengkelkan' dalam Seksyen 233 sebagai tidak berperlembagaan dan membatalkannya selepas membenarkan rayuan Heidy untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.

Pada Julai 2021, Heidy, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat kenyataan menyinggung perasaan menerusi satu hantaran di Facebook dan pada 2022, beliau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mahkamah mendapati pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) adalah cacat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Mahkamah Persekutuan memutuskan perkataan 'menghina' dan 'menjengkelkan' di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah sah dan selaras dengan Perlembagaan
  • Seksyen tersebut menangani komunikasi dalam talian yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat menjengkelkan atau mengganggu
  • Keputusan ini dibuat oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh
  • Keputusan ini mengekalkan bahawa perlakuan tersebut merupakan suatu kesalahan jenayah
  • Keputusan ini membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelumnya menyatakan dua perkataan tersebut sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!