X

Kindly register in order to view this article
!

Di sebalik perjuangan perangi Covid-19

Perjuangan memerangi wabak itu semakin menjadi usaha di peringkat global, bukan sahaja dalam negara China lagi. -Foto: AFP
A
A

ANTARA huraian para pembaca tentang novel Keangkuhan dan Prasangka (Pride and Prejudice) karya Jane Austen, penulis novel Inggeris terkenal pada abad ke-19, yang paling dikenali umum adalah ‘keangkuhan menyekat orang lain cinta pada saya, manakala prasangka menyekat saya cinta pada orang lain’. Karya itu berfokus pada hubungan antara orang.

Pada saya, yang meninggalkan tanggapan paling mendalam adalah keangkuhan dan prasangka menjadi halangan dalam hubungan antara orang. Begitu juga dalam hubungan antara negara. Keikhlasan membantu penjalinan hubungan antara negara, manakala komplot dan keberasingan menghasilkan pertentangan dan perselisihan. Saya fikir kita harus mendapat pelajaran daripada cerita itu.

Pada awal tahun 2020, wabak koronavirus (Covid-19) tiba-tiba menular ke seluruh dunia. Nampaknya keadaan wabak Covid-19 mula berubah baru-baru ini. Perjuangan memerangi wabak itu semakin menjadi usaha di peringkat global, bukan sahaja dalam negara China lagi.

Kini keadaan wabak Covid-19 di Hubei dan juga seluruh China semakin pulih, cahaya harapan sudah kelihatan.

Yang membimbangkan adalah wabak Covid-19 sedang pesat menular di serata dunia. Setakat jam 3 petang 15 Mac, angka kes positif telah mencecah 153,503 manakala jumlah kematian adalah 5,808 di seluruh negara yang dijangkiti. Pada malam 11 Mac, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan kejadian Covid-19 sebagai pandemik.

Menurut Ketua Pasukan Pakar WHO ke China, Dr Bruce Aylward, dengan angka kes jangkitan kian meningkat di peringkat global, semakin ramai orang bertanya beliau bagaimana China mengekang dan memerangi virus? Jawapannya adalah kelajuan, duit dan keberanian.

Sejak berlakunya wabak Covid-19 secara besar-besaran di bandar Wuhan pada Januari lepas, kerajaan China telah mengambil langkah-langkah yang paling tegas, teguh dan komprehensif untuk membendung virus.

Misalnya, mengenakan sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) di pusat epidemik bandar Wuhan, membina beberapa hospital dalam tempoh waktu yang singkat, mengatur pelbagai sumber dari seluruh negara untuk menyokong Hubei, serta beberapa 2020wilayah mencipta ‘pengurusan tutup’ di komuniti kediaman.

Langkah-langkah tersebut memaparkan tanggungjawab China sebagai kuasa besar, kepakaran semua doktor dan kakitangan perubatan China serta kesedaran rakyat China. Menurut laporan oleh pasukan pakar bersama China-WHO pada 24 Februari, pihak China telah mengambil tindakan yang paling berani, fleksibel dan proaktif dalam sejarah untuk membendung virus baharu itu. Hasilnya sekurang-kurangnya 100,000 kes dapat dihalang daripada berlaku. Dr Bruce Aylward berkata, “Kita mesti faham sumbangan rakyat Wuhan, dunia terhutang budi kepada rakyat Wuhan.”

Suara sumbang

Namun, suara-suara sumbang sentiasa terdengar apabila pihak China giat berusaha menangani Covid-19.

Ada yang melabel China dengan negatif. Sesetengah media barat menamakan Covid-19 sebagai ‘virus China’ atau ‘pneumonia Wuhan’.

Ahli politik Amerika Syarikat (AS) yang berpendirian anti-China menyebar berita palsu bahawa koronavirus baharu merupakan senjata biokimia dari makmal Wuhan. Surat khabar AS, The Wall Street Journal menggelar China sebagai ‘sick man of Asia’. Jurnal Jerman, Der Spiegel menerbitkan laporan berunsur hasutan bahawa ‘coronavirus: Made in China’. Bahkan terdapat seorang pengacara televisyen AS berkata “koronavirus berasal dari China” dan menyuruh rakyat China memohon maaf secara rasmi kepada negara lain.

Ketua Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan berkata, koronavirus merupakan satu fenomena global dan ia wujud di merata dunia. Malangnya virus itu didapati di sesuatu tempat. Yang penting adalah kita jangan menyalahkan tempat asal virus itu, tetapi memberi fokus pada bagaimana menangani virus itu.

Menurut pakar respiratori terkenal China, ahli Chinese Academy of Engineering, Dr Zhong Nanshan, Malaysiawabak Covid-19 mula didapati di China, namun tidak semestinya virus itu berasal dari China. Tidak kira dari mana virus itu berasal, semua negara, termasuk China merupakan mangsa koronavirus dan menghadapi ancaman wabak ini.

Di samping itu, 27 orang ahli sains yang handal di peringkat global, termasuk pakar perubatan kesihatan awam Malaysia, Profesor Datuk Dr Lam Sai Kit telah menandatangani kenyataan bersama untuk mengutuk teori konspirasi kononnya koronavirus adalah buatan manusia.

Wabak influenza H1N1 yang berlaku di AS pada tahun 2009 pernah menular ke 214 negara dan kawasan dan mengorbankan beratus-ratus ribu nyawa. Adakah negara dan kawasan tersebut menyuruh pihak AS mohon maaf?

Ada yang bergembira atas kemalangan yang menimpa orang lain. Dengan sengaja atau tidak, sebahagian media negara tertentu sentiasa mengecam dan mentertawakan China tanpa mengendahkan segala usaha dan pengorbanan dibuat pihak China untuk menangani Covid-19. Komen berunsur diskriminasi dan kutukan terhadap China disebar meluas. Hal ini agak menggusarkan hati rakyat China dan menimbulkan ketidakpuasan serta kemarahan dalam kalangan pembaca negara asing.

Lebih dikesali, pada saat manusia sedang bersama menghadapi ancaman jangkitan Covid-19 ini, sesetengah ahli politik dunia barat masih asyik menentang dan membidas pihak China seperti kebiasaan mereka.

Wabak Covid-19 umpama cermin, ia membayangkan agenda tersembunyi orang munafik dan juga ketulenan persahabatan antara teman sejati. Yang mengharukan saya adalah sokongan yang tidak ternilai daripada kawan-kawan pelbagai negara kepada rakyat China dalam perjuangan memerangi wabak ini.

Kerajaan Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat Malaysia telah memberikan bantuan kepada China dengan cara tersendiri, contohnya mendermakan duit atau barang-barang, mencipta lagu dan video untuk memberi semangat kepada rakyat China. Setiap bantuan diberi kawan-kawan Malaysia, memaparkan kasih sayang dan budi bicara serta persahabatan sejati.

Sokongan

Rakyat China pasti akan mengingati selama-lamanya sokongan dan bantuan daripada rakyat pelbagai negara. Pihak China akan terus berusaha untuk menangani wabak dalam negeri, di samping memberi sumbangan untuk perjuangan memerangi koronavirus di peringkat global. Hakikatnya China telah berkongsi rancangan pencegahan dan pengawalan jangkitan Covid-19 dengan WHO dan negara-negara lain, menghantar pasukan pakar perubatan, bahan perubatan serta reagen pengesanan virus ke negara-negara berwabak teruk termasuk Iran, Korea Selatan, Itali dan lain-lain.

Sebagai negara yang banyak berpengalaman dalam menangani wabak, China sudi dan mampu berperanan sebagai tulang belakang dalam perjuangan memerangi koronavirus di peringkat global.

Koronavirus dianggap sebagai musuh segala manusia. Pada zaman kini, manusia sudah terjalin menjadi satu komuniti dengan masa depan dikongsi. Hanya dengan kerjasama dan perpaduan barulah kita mampu memerangi virus. Kita harus mengalahkan kebodohan dengan sains, memulaukan prasangka dengan kerjasama dan membina bendung global untuk menghalang penularan virus.

Cerita watak-watak utama dalam novel Pride and Prejudice berakhir dengan keputusan yang menggembirakan, mungkin kerana mereka meletakkan keangkuhan dan prasangka dalam hati akhirnya.

Semoga keangkuhan dan prasangka tidak lagi wujud di dunia kita. Mudah-mudahan kita menyambut pengakhiran cerita yang gembira dengan berjaya memerangi koronavirus dalam masa terdekat.

* Bai Tian ialah Duta Besar China ke Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!