Dijangka lebih banyak ladang babi di Pulau Pinang positif ASF

Tiga buah ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disahkan positif jangkitan ASF berdasarkan keputusan ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara.
Tiga buah ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disahkan positif jangkitan ASF berdasarkan keputusan ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara.
A
A
A

GEORGE TOWN - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sedang giat menjalankan siasatan dan pengambilan sampel lanjut di ladang-ladang babi berikutan jangkitan Demam Babi Afrika (ASF) di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, bilangan ladang yang positif ASF dijangka akan meningkat selepas keputusan ujian makmal diperoleh.

"JPV sedang mengenal pasti tapak pelupusan yang sesuai bagi menjalankan pelupusan bangkai babi secara selamat mengikut garis panduan alam sekitar.

"ASF bukan penyakit zoonotik dan tidak menjangkiti manusia, justeru ia tidak menjejaskan kesihatan manusia serta keselamatan makanan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Mooi Lye berkata, sebanyak 822 ekor babi dari dua ladang di Pulau Pinang telah dimusnahkan berikutan jangkitan ASF setakat 17 Julai lalu.

Menurutnya, sebanyak 13 sampel dari ladang di Seberang Perai Utara (SPU), empat dari Seberang Perai Selatan (SPS) dan satu dari daerah Barat Daya (BD) di pulau telah disahkan positif ASF.

“Setakat ini, tiga ladang disahkan positif ASF, manakala ladang-ladang lain masih dalam siasatan lanjut.

"Kesemua 822 ekor babi yang dimusnahkan berasal dari dua daripada tiga ladang yang disahkan mempunyai kes positif," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, JPV dan pejabat daerah sedang mencari lokasi lain yang sesuai bagi tujuan pelupusan bangkai babi yang dimusnahkan akibat jangkitan ASF.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow berkata, setakat ini, bangkai babi yang telah dimusnahkan ditanam dalam kawasan ladang masing-masing sebagai langkah kawalan awal.

“JPV dan pejabat daerah sedang mencari lokasi lain yang sesuai sekiranya perlu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan tiga buah ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor disahkan positif jangkitan ASF berdasarkan keputusan ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, dua daripada tiga ladang itu turut menunjukkan kadar kematian ternakan yang tinggi sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penularan ASF ke ladang-ladang berdekatan.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya bagaimanapun telah mengambil beberapa tindakan kawalan serta pemantauan yang rapi bagi memastikan penularan jangkitan tersebut dapat dibendung dengan segera dan berkesan.

Katanya, antara langkah kawalan yang diambil termasuk mengeluarkan Notis Sekatan dan Larangan Pemindahan Binatang di bawah Seksyen 18, Akta Binatang 1953 (Akta 647) kepada ladang-ladang yang disahkan dijangkiti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!