'Tiada ladang babi baharu di kawasan penduduk majoriti Islam'

IPOH - Kerajaan Perak menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan baharu diberikan bagi pembukaan ladang babi di kawasan yang dikenal pasti mempunyai majoriti penduduk Islam.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, semua ladang ternakan babi yang sedang beroperasi ketika ini adalah ladang sedia ada.
Menurutnya, kebanyakan ladang-ladang tersebut telah beroperasi sejak beberapa dekad lalu di atas tanah milik persendirian yang beroperasi sebelum pewartaan garis panduan atau dasar penternakan moden diperkenalkan.
"Ingin saya tegaskan di sini, kerajaan Perak tidak pernah meluluskan sebarang pembukaan ladang babi baharu di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan majoriti penduduk Melayu Islam.
"Kenyataan yang mengatakan bahawa terdapat ladang-ladang ternakan haram di Perak secara berleluasa adalah tidak benar sama sekali dan sangat tidak bertanggungjawab kerana kesemua 85 ladang-ladang yang sedang beroperasi di Negeri Perak mempunyai lesen penternakan yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, jumlah ladang babi yang ada menurun daripada 115 buah pada hujung tahun 2022, hasil penguatkuasaan undang-undang serta tindakan agresif oleh jawatankuasa khas bersama Jabatan Veterinar dan agensi berkaitan.
"Sebanyak 30 ladang babi telah ditutup di Perak hasil daripada penguatkuasaan undang-undang, wabak penyakit yang melanda babi domestik, isu berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah.
"30 ladang ini telah ditutup sepenuhnya dan tidak lagi dibenarkan beroperasi semula tanpa kompromi," katanya.
Mengulas isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri berhubung dakwaan terdapat lebih 30 kandang babi beroperasi di kawasan daerah Batang Padang, Sivanesan berkata, hanya 20 ladang berlesen dikenal pasti, iaitu 11 di Bidor dan sembilan di Ayer Kuning.
Sementara itu, Sivanesan berkata, kerajaan negeri kini giat melaksanakan penstrukturan semula industri penternakan babi melalui kaedah pertanian moden dikenali sebagai Modern Pig Farming (MPF) yang menekankan penggunaan kandang tertutup, amalan sifar pelepasan dan pematuhan kepada Amalan Penternakan Baik (GAHP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

