Kelantan manfaat ERCL lonjak industri perkilangan, pembuatan

KOTA BHARU - Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam melonjakkan lagi sektor industri perkilangan dan pembuatan yang berpotensi memperkasakan ekonomi di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya sudah merangka perancangan strategik bagi memastikan pembangunan di sekitar jajaran ERCL dapat digunakan sebaik mungkin.
"Perancangan kita adalah pembangunan berasaskan COD (kargo Cargo) di Stesen Pasir Puteh yang sedang digerakkan ketika ini.
"Ia bukan sahaja mampu menarik pelaburan swasta dan luar negara, malah menjana rantaian ekonomi hiliran seperti perkhidmatan pengangkutan, pembungkusan serta pembekalan bahan mentah," katanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Menurut beliau, pembangunan berasaskan transit (TOD) di Stesen Tunjong turut diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.
Ujarnya, usaha itu mampu menghidupkan Tunjong sebagai perbandaran baharu serta mewujudkan ekosistem ekonomi yang seimbang antara mobiliti rakyat, peluang pekerjaan dan kualiti hidup.
Mohamed Fadzli memberitahu, cadangan meneruskan jajaran ERCL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang mampu menghidupkan semula laluan kereta api sedia ada antara Pasir Mas di Kelantan dan Sungai Golok, Thailand di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
"Langkah itu lebih signifikan dengan cadangan yang telah dipersetujui antara Kerajaan Malaysia-Thailand," katanya.
Projek ECRL dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 dan perkhidmatan tren bagi laluan Kota Bharu ke Gombak, Selangor dapat beroperasi menjelang Januari 2027 sementara jajaran kedua dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap setahun kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

