Tiket bas ke pantai timur habis, hala utara makin terhad

Tinjauan Sinar Harian di Terminal Larkin Sentral mendapati tiket bas ke Pantai Timur sempena Aidilfitri habis terjual sejak dua minggu lalu, manakala tiket ke utara pula semakin terhad. Gambar kecil: Edy Fitri, Syafinaz, Muhammad Hairi, Nur Amalin Madihah
Tinjauan Sinar Harian di Terminal Larkin Sentral mendapati tiket bas ke Pantai Timur sempena Aidilfitri habis terjual sejak dua minggu lalu, manakala tiket ke utara pula semakin terhad. Gambar kecil: Edy Fitri, Syafinaz, Muhammad Hairi, Nur Amalin Madihah
A
A
A

JOHOR BAHRU – Tiket bas ke pantai timur sempena Aidilfitri habis terjual sejak dua minggu lalu, manakala perjalanan menghala ke utara pula semakin terhad.

Tinjauan Sinar Harian di Terminal Larkin Sentral mendapati ramai penumpang masih mencari tiket pulang ke kampung terutamanya yang bekerja di Singapura.

Menurut seorang pekerja kilang, Mohd Faizal Ramli, 32, dia berasa agak kecewa kerana tiket ke pantai timur habis terlalu cepat.

"Saya cuba dari minggu lepas sebenarnya, nak beli tiket pulang ke Kota Bharu, Kelantan untuk 27 Mac tapi sudah habis. Saya datang ke kaunter di Larkin pun sama, semua penuh.

Pengurusan Terminal Larkin Sentral akan membuka tiga laluan masuk ke platform bas menjelang musim perayaan.
Pengurusan Terminal Larkin Sentral akan membuka tiga laluan masuk ke platform bas menjelang musim perayaan.

"Sekarang kena cari pilihan lain, mungkin akan pandu sendiri sahaja atau tunggu bas tambahan sekiranya ada,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Sementara itu, Edy Fitri, 34, yang bekerja di Singapura, memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri bagi mengelakkan kesulitan mendapatkan tiket dan menghadapi kesesakan di jalan raya.

“Saya lebih suka pandu sendiri sebab boleh berhenti bila perlu dan tak perlu risau kena duduk lama dalam bas kalau jalan sesak.

"Tapi saya belum buat keputusan nak naik kereta atau menunggang motosikal sahaja nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pekerja swasta, Syafinaz Noorzan, 27, membeli tiket untuk pulang ke Gurun, Kedah seawal satu minggu kerana saingan tidak terlalu tinggi seperti perjalanan ke pantai timur.

Bagaimanapun katanya, berlaku sedikit peningkatan harga daripada kebiasaan iaitu sekitar RM90 kepada hampir RM200.

"Harga pun naik, biasanya saya bayar dalam RM90 tapi kali ini ada yang jual lebih RM100... hampir cecah RM200. Nak tak nak kena beli juga sebab nak balik raya dengan keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelia Operasi Terminal Larkin, Muhammad Hairi Rosli, berkata, walaupun terdapat kemungkinan bas tambahan untuk perjalanan ke pantai timur, jumlah tiket juga terhad.

“Tiket ke Kelantan dan Terengganu memang sudah habis bermula tarikh 26 hingga seminggu selepas raya tetapi akan ada bas tambahan nanti.

"Bagi mengelakkan kesesakan di terminal, kami juga akan buka tiga laluan masuk ke platform bas,” ujarnya.

Dalam pada itu, penjaga kaunter tiket Terminal Larkin, Nur Amalin Madihah, 21, berkata sejak seminggu lalu ramai anak perantauan datang ke kaunter untuk mendapatkan tiket secara fizikal kerana dalam talian sudah habis.

Ujarnya, hanya beberapa orang sahaja yang berjaya memperoleh tiket dan selebihnya perlu menunggu bas tambahan.

"Boleh dikatakan sebulan awal lagi mereka sudah beli tiket, jadi kalau ada yang lambat memang terlepas dan perlu tunggu untuk bas tambahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!