Iran sedia perang semula jika Israel langgar gencatan senjata

Ayatollah Ali Khamenei. Foto AFP
Ayatollah Ali Khamenei. Foto AFP
A
A
A

TEHERAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei memberi amaran tegas bahawa negaranya bersedia untuk kembali berperang jika Israel melanggar perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui bersama baru-baru ini.

Amaran itu disuarakan ketika ketegangan di Asia Barat masih tinggi susulan konflik berdarah antara Israel dan Iran yang tercetus minggu lalu.

Khamenei berkata, Iran tidak mahu peperangan tetapi tidak akan teragak-agak bertindak jika Israel mengingkari persetujuan.

“Kami tidak menyukai perang, namun kami tidak takut padanya. Jika Israel sekali lagi menimbulkan ancaman, kami akan bertindak dengan tegas. Pasukan tentera kami bersedia sepenuhnya,” kata beliau dalam satu ucapan kepada pegawai kanan kehakiman di Teheran pada Sabtu.

Gencatan senjata antara kedua-dua negara dilaporkan dicapai selepas rundingan sulit yang diatur Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, bertujuan mengelakkan krisis serantau daripada terus meruncing dan memberi kesan kepada keselamatan global.

Sementara itu, jurucakap tentera Iran menyatakan semua sistem pertahanan udara dan pasukan elit Pengawal Revolusi telah diarahkan kekal dalam tahap kesiapsiagaan penuh, sekiranya Israel melakukan serangan balas atau tindakan provokatif.

Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas fasiliti ketenteraan di Isfahan bulan lalu, yang didakwa sebagai tindakan balas terhadap serangan siber dan dron Iran.

Sejak itu, usaha diplomatik giat dijalankan bagi meredakan konflik yang dibimbangi boleh mencetuskan perang berskala besar di rantau Teluk. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!