Iran beri amaran balas lebih keras jika musuh ulangi kesilapan

TEHERAN – Panglima tertinggi tentera Iran memuji keberkesanan serangan balas peluru berpandu yang dilancarkan oleh pasukan aeroangkasa negara itu bulan lalu dan memberi amaran bahawa sebarang kesilapan seterusnya oleh musuh akan menerima tindak balas yang lebih dahsyat.
Ketua Turus Angkatan Bersenjata Iran, Mejar Jeneral Abdolrahim Mousavi berkata, demikian semasa melawat fasiliti dan anggota Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada Isnin.
“Ia adalah pedang tajam yang dihayun oleh Pasukan Aeroangkasa dengan pertolongan Ilahi, berjaya memutuskan tangan dan kepala musuh,” katanya.
Antara 13 hingga 25 Jun lalu, Republik Islam Iran telah menjadi sasaran serangan udara intensif oleh rejim Zionis, sebelum Iran melancarkan operasi serangan balas yang digelar Operasi Janji Sejati III.
Serangan balas tersebut menyasarkan kemudahan ketenteraan, perisikan dan industri utama Israel, menyebabkan kerosakan besar.
Iran turut membedil pangkalan udara al-Udeid di Qatar – pangkalan tentera udara Amerika Syarikat yang paling penting di Asia Barat – selepas Washington menyerang kemudahan nuklear Iran.
Mejar Jeneral Mousavi berkata, kekuatan tindak balas itu mengatasi serangan balas yang pernah dilancarkan Iran semasa perang yang dipaksakan oleh Iraq pada era 1980-an.
“Jika musuh sekali lagi melakukan kesilapan, para anggota kami telah bersiap siaga untuk memberikan tindak balas yang lebih tegas dan menyakitkan,” tegas beliau.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Angkatan Bersenjata Iran kini berada pada tahap kemampuan yang ‘sempurna’, hasil peningkatan ketenteraan dan latihan berterusan dalam menghadapi sebarang pencerobohan.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Komander Pasukan Aeroangkasa IRGC, Brigedier Jeneral Majid Mousavi, yang membentangkan laporan terperinci mengenai pelaksanaan Operasi Janji Sejati III.
Laporan tersebut memaparkan kejayaan operasi itu dalam mempertahankan maruah negara serta tahap koordinasi tinggi antara pasukan aeroangkasa dengan cabang tentera lain dalam pelaksanaan serangan balas tersebut.
“Dengan rahmat Tuhan dan selaras dengan arahan yang diberikan – bahawa jari sentiasa berada di picu – kami masih bersedia sepenuhnya untuk bertindak terhadap sebarang tindakan silap perhitungan atau pengembaraan ketenteraan oleh musuh,” ujar Brigedier Jeneral Majid Mousavi.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

